Sumber Gambar: FAM

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe yakin pemain yang beliau pilih dalam skuad akhir untuk menghadapi saingan Piala AFF Suzuki 2018 mampu untuk mempamerkan aksi terbaik mereka.

Bekas pengendali Kedah ini mengumumkan senarai 23 pemain yang akan membawa cabaran Harimau Malaya pada Ahad lalu dan beliau menggugurkan tiga pemain iaitu Nor Azam Azih, Azzizan Nordin dan Azrif Nasrulhaq.

“Tiga pemain yang digugurkan adalah kerana kecederaan dan juga tidak berjaya untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan,” kata Cheng Hoe.

Dikhabarkan Nor Azam Azih mengalami kecederaan hamstring manakala pemain tengah Sabah, Azzizan Nordin mengalami kecederaan pergelangan kaki manakala Azrif Nasulhaq pula dianggap gagal untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan yang diterapkan oleh Cheng Hoe.

Dengan ketiadaan Nor Azam dan juga Azzizan Nordin, pasukan negara hanya membawa tiga pemain tengah iaitu Syamer Kutty Abba, Akram Mahinan dan D. Kenny Pallraj.

Meskipun sudah mengumumkan senarai penuh 23 pemain, namun ada beberapa pemain dalam pasukan belum cergas sepenuhnya dan masih mengalami kecederaan. Akhyar Rashid mengalami kecederaan pangkal peha setelah diperah habis-habisan manakala Kenny Pallraj mengalami kecederaan buku lali.

Dalam skuad kali ini, Tan Cheng Hoe menggabungkan pemain senior dan juga pemain muda untuk membawa cabaran negara. Dua pemain iaitu Norshahrul Idlan Talaha dan Khairul Fahmi Che Mat bakal beraksi dalam Piala AFF kelima mereka sejak tampil kali pertama pada edisi 2010.

Sementara itu, lapan pemain berada dalam skuad Harimau Malaya pada edisi 2016 sebelum ini iaitu Ahmad Hazwan Bakri, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Shahrul Saad, Nazirul Naim Che Hashim, Syazwan Zainon, Zaquan Adha Abd Radzak, Norshahrul Idlan Talaha dan Khairul Fahmi Che Mat.

Malaysia bakal membuka kempen bertemu Kemboja di Phnom Penh pada 8 November sebelum menanti kunjungan Laos di Bukit Jalil pada 12 November.

Selepas itu, pasukan negara akan terbang ke Hanoi untuk bertemu Vietnam pada 16 November dan mengakhiri aksi Kumpulan A menentang Myanmar di Bukit Jalil pada 24 November.

Baca Juga: Nor Azam Azih Terkejut Namun Redha

Leave a Reply