Sumber Gambar: MFL

Tiga anugerah yang dimenangi oleh pemain muda negara, Safawi Rasid pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2018 mahu digunakan sebagai pembakar semangat bagi membantu pasukan negara dalam saingan Piala AFF Suzuki edisi 2018.

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) memenangi anugerah Pemain Paling Bernilai, Pemain Tengah Terbaik dan Pemain Muda Harapan. Safawi juga tidak menyangka dapat memenangi ketiga-tiga anugerah ini kerana calon lain turut mempunyai kelebihan.

“Saya ingin berterima kasih kepada penyokong JDT, media, ketua jurulatih dan ketua pasukan (Liga Malaysia) yang memilih saya untuk memenangi anugerah pemain paling bernilai* terima kasih juga kepada ibu bapa saya dan (pemilik JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Bagi saya, kejayaan ini memberi lebih semangat kepada saya untuk memburu tempat dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan pada Piala AFF nanti,” katanya menurut laporan Utusan.

Pada masa sama, Safawi turut menyifatkan tiga anugerah berkenaan menjadi motivasi terbaik untuk dirinya dalam terus membantu JDT terus mencapai kecemerlangan dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Safawi sememangnya pilihan utama untuk memenangi Pemain Muda Harapan dan juga Pemain Tengah Terbaik di atas prestasi cemerlang beliau bersama Johor Darul Ta’zim dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Safawi selalu menjadi pilihan utama untuk diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan dan perkara ini jelas berbeza berbanding musim lalu dimana beliau hanya memanaskan bangku simpanan.

Selain beraksi cemerlang bersama JDT, Pawi turut menampilkan aksi cemerlang bersama skuad bawah 23 tahun dan juga pasukan senior negara. Siapa boleh lupa dua jaringan beliau ketika menewaskan Korea Selatan pada perlawanan peringkat kumpulan Sukan Asia 2018.

Apa yang pasti, diharapkan Safawi dapat menampilkan persembahan terbaik beliau pada saingan Piala AFF Suzuki edisi kali ini.

Baca Juga: 7 Bintang Muda Yang Bakal Menjadi Tumpuan

Leave a Reply