Sumber Gambar: Zimbio

Hasrat Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk mendapatkan bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan Thailand, Kiatisuk Senamuang tidak kesampaian apabila beliau mempunyai komitmen kerja di England yang tidak boleh ditinggalkan.

Sebelum cuba untuk mendapatkan Kiatisuk atau yang lebih mesra dengan panggilan Zico, FAS cuba untuk mendapatkan ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic. Meskipun telah menandatangani kontrak, namun Mehmet membuat keputusan untuk kekal bersama Perak musim hadapan.

“Kami sudah menghubunginya, malangnya beliau mempunyai projek di United Kingdom dan tidak dapat bersama kami pada musim depan.

“Tetapi, beliau tetap membuka pintu untuk Selangor pada masa akan datang,” kata Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon kepada Stadium Astro.

Setelah gagal untuk mendapatkan khidmat Kiatisuk Senamuang dan Mehmet Durakovic, kini FAS dikhabarkan sudah mempunyai empat jurulatih yang disenarai pendek sebagai calon ketua jurulatih pasukan musim hadapan.

Dalam senarai tersebut, seorang jurulatih tempatan, B.Sathianathan turut disenaraikan. Selain Sathia, tiga lagi calon merupakan jurulatih import namun Dr Johan enggan mendedahkan tiga nama tersebut.

“Kami mempunyai seorang calon jurulatih tempatan manakala tiga calon yang lain adalah jurulatih import.

“Kami cenderung unyuk menggunakan khidmat jurulatih luar dan perlu memastikan calon itu nanti mempunyai pengetahuan dengan bola sepak tempatan,” tambah Dr Johan.

Siapa saja yang bakal dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan Selangor yang baru nanti sudah pasti bakal berdepan tugasan terbesar dalam karier kejurulatihan mereka.

Musim 2019 ialah musim yang sangat penting buat pasukan Selangor dimana mereka perlu bangkit dari mimpi yang panjang dan Gergasi Merah perlu menjadi antara pasukan yang menjadi pencabar kejuaraan dan juga pasukan-pasukan besar dalam saingan Liga Malaysia.

Hanya dengan berada setara dengan pasukan besar seperti Johor Darul Ta’zim, Pahang dan Terengganu FC mampu untuk mengembalikan kepercayaan peminat terhadap pasukan sekaligus menarik mereka untuk kembali memenuhi stadium dimana mereka akan beraksi di stadium keramat mereka iaitu Stadium Shah Alam musim hadapan.

Baca Juga: RMS Beri Restu Untuk Kekal Bersama Perak – Mehmet

Leave a Reply