Sumber Gambar: MFL

Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic mengucapkan terima kasih kepada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana telah merestui beliau untuk kekal bersama pasukan Perak musim hadapan.

Durakovic sebelum ini dikhabarkan sudah menandatangani kontrak bersama pasukan Selangor pada September lalu. Namun beliau membuat keputusan untuk kekal mengendalikan pasukan Perak setelah The Boss Gaurus memenangi Piala Malaysia 2018.

“Saya mahu ucapkan terima kasih kepada Raja Muda Selangor dan saya berbual mesra bersama beliau selepas perlawanan akhir Piala Malaysia, memang ada menyatakan persetujuan untuk sertai Selangor.

“Tetapi selepas menjelaskan semua situasi dengan keluarga saya dan apa yang berlaku dalam Piala Malaysia, beliau merestui saya untuk kekal bersama Perak.

“Saya menghormati seluruh pasukan Selangor dan beliau berkata pintu sentiasa terbuka untuk saya dan keluarga kembali ke Selangor. Mungkin satu hari nanti saya akan kembali ke Selangor,” katanya kepada Berita Harian.

Mehmet berjaya membimbing pasukan Perak memenangi Piala Malaysia 2018 dengan menewaskan pasukan Terengganu FC dalam satu perlawanan akhir yang dramatik sehingga berlarutan ke penentuan sepakan penalti.

Kejayaan membimbing Perak menduduki tangga kedua Liga Super dan memenangi Piala Malaysia 2018 membuatkan beliau dipilih sebagai Jurulatih Terbaik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2018.

Mehmet turut menyatakan musim 2019 bakal menjadi musim yang besar buat pasukan Perak kerana mereka akan beraksi di peringkat playoff saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

“Ia akan menjadi musim yang besar buat Perak terutama beraksi di ACL dan sudah pasti kami mahu mara lebih jauh.

“Ia bukan mudah, tapi saya percaya kami dapat lakukan yang terbaik. Anugerah (Jurulatih Terbaik) ini juga hasil bantuan daripada semua pemain, staf kejurulatihan dan pihak pengurusan Perak,” tambah Mehmet.

Setelah gagal untuk mendapatkan khidmat Mehmet Durakovic, kini perhatian FAS untuk mendapatkan jurulatih baru terarah kepada beberapa nama seperti ketua jurulatih Felcra, Tarcisio Pugliese dan jurulatih Bhayangkara FC, Simon McMenemy.

Hasrat FAS untuk mendapatkan jurulatih legenda Thailand, Kiatisuk Sinamuang juga tidak kesampaian.

Baca Juga: Hasnul Zulkarnain Akan Terus Pertahan Jawatan

Leave a Reply