Sumber Gambar: MFL

Ketua jurulatih pasukan Kelantan, Yusri Che Lah masih lagi belum pasti mengenai masa depan beliau setelah ada ura-ura mengatakan Kelantan akan mendapatkan jurulatih import bagi membimbing pasukan pada musim hadapan.

Yusri berkata demikian keran khabar angin yang beredar sedikit-sebanyak mematahkan hati beliau kerana rasa sayang terhadap pasukan sudahpun mulai terbentuk.

“Perasaan saya masih berbelah-bahagi oleh kerana presiden sudah lama menghubungi saya. Khabar angin mengenai Kelantan akan mengambil jurulatih import kadang-kadang mematahkan hati saya.

“Kalau benar ia datang daripada pengurusan tertinggi KAFA, saya tidak menolak perkara tersebut,” kata Yusri kepada Stadium Astro.

Baru-baru ini, pasukan Kuala Lumpur dikhabarkan berminat untuk mendapatkan khidmat Yusri bagi membimbing pasukan ibu kota tersebut pada saingan Liga Malaysia musim hadapan. Selain Yusri, KLFA juga memburu bekas pengendali pasukan Kedah, Nidzam Adzha Yusoff.

Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa mengesahkan perkara ini dan menurut beliau, KLFA sudah membuat pertemuan dengan kedua-dua jurulatih.

“Kami berminat untuk mendapatkan jurulatih tempatan, bukannya luar. Nidzam, Yusri mahupun jurulatih tempatan yang lain pun berpeluang. Namun, kami meminta mereka bersabar sebelum AGM dilangsungkan,” katanya.

Meskipun tidak berjaya menyelamatkan diri daripada terjatuh ke saingan Liga Perdana musim hadapan, namun Yusri mendapat pujian daripada ramai pihak dimana beliau berjaya mengendalikan pasukan menggunakan tenaga muda dan juga ketika pasukan dilanda pelbagai masalah.

Di bawah bimbingan Yusri, pemain muda seperti Nik Akif Syahiran dan Nik Azli Nik Alias berjaya mematangkan lagi corak permainan mereka dan menjadi nadi utama pasukan sepanjang musim.

Penulis berpendapat sudah pasti Yusri mahu meneruskan tugas sebagai ketua jurulatih Kelantan kerana para pemain muda The Red Warriors dilihat selesa dan memahami corak permainan yang diterapkan oleh Yusri.

Penulis turut merasakan ada baiknya Kelantan terus mengekalkan khidmat Yusri dan tidak mengambil khidmat jurulatih dari luar negara bagi memastikan mereka tidak menambah beban kewangan terhadap persatuan kerana untuk mendatangkan jurulatih luar bukanlah murah.

Baca Juga: Nik Akif Mahu Kekal Bersama Kelantan

Leave a Reply