Sumber Gambar: Fourthofficial.com

Pemain tengah berpengalaman negara, Safiq Rahim mahu semua pihak untuk menghormati keputusan beliau dimana pemain berusia 31 tahun ini memilih untuk berpisah bersama Johor Darul Ta’zim setelah enam musim beraksi bersama.

Menurut Safiq, keputusan berkenaan bukannya disebabkan desakan pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebaliknya atas kehendak sendiri untuk mencari cabaran baharu musim hadapan.

“Saya ingin tegaskan di sini, tiada apa-apa atau sesiapa yang mempengaruhi keputusan saya. Tidak ada kena mengena dengan sesiapa.

“Ia keputusan bersama demi kepentingan kelab dan saya sendiri. Jangan ada pihak yang sesuka hati membuat spekulasi hingga memburukkan keadaan antara dua pihak,” katanya di laman media sosial Instagram milik beliau.

Masa depan bekas ketua pasukan skuad kebangsaan ini akhirnya terjawab apabila Tunku Ismail menyatakan Safiq tidak akan beraksi bersama pasukan pada musim hadapan.

Sepanjang menyarung jersi Harimau Selatan itu, Safiq sudah memenangi pelbagai trofi termasuk menjulang lima kejuaraan Liga Super berturut-turut sejak musim 2014, Piala AFC 2015, Piala FA 2016 dan Piala Malaysia 2017.

Paling manis, Safiq dinobat sebagai pemain paling bernilai pada aksi final Piala AFC yang menyaksikan JDT berjaya menundukkan kelab dari Tajikistan, FC Istiklol 1-0 sekali gus muncul pasukan pertama negara dan Asia Tenggara menjulang trofi berkenaan.

Safiq turut menambah Tunku Ismail sentiasa mengalu-alukan kedatangan beliau sekiranya berhasrat untuk kembali menabur bakti bersama kelab itu.

“Jika ada rezeki, saya akan kembali kerana JDT sentiasa membuka pintu kepada saya dan pemain yang lain untuk kembali.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada kelab terutamanya TMJ (Tunku Mahkota Johor) yang mempercayai saya. Enam tahun mungkin tak cukup untuk saya balas budi baik Tunku Ismail dan JDT.

“Ia satu penghargaan besar dapat bersama dalam keluarga JDT dan mengecapi kejuaraan bersama. Terima kasih semua termasuk penyokong Merah Biru,” tambah Safiq.

Baca Juga: TMJ Kecewa Dengan Trofi ABK 2018

Leave a Reply