Sumber Gambar: The Star

Pemilik Johor Darul Ta’zim, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjelaskan mengapa Safiq Rahim terpaksa dilepaskan kerana beliau mahu untuk memberikan peluang kepada pemain muda untuk mengketengahkan bakat mereka.

Menurut TMJ, JDT kini kebanjiran ramai pemain muda berbakat dan peluang untuk pemain muda ini tampil bersama pasukan utama akan terbatas jika pemain senior masih berada dalam pasukan.

Baginda lebih suka memberi peluang kepada pemain muda dan membangunkan potensi mereka sebagai pelan jangka masa panjang daripada menyimpan pemain senior seperti Safiq Rahim.

“Pelbagai spekulasi timbul mengenai penghijrahan Safiq tetapi yang sebenarnya, kami akan memiliki pemain import yang lebih baik dan lebih muda untuk mengisi tempat yang ditinggalkan oleh Safiq.

“Pasukan tidak mahu meletakkan pemain dengan gaji yang tinggi hanya untuk memanaskan bangku simpanan. Kami memiliki banyak pemain muda seperti Nazmi Faiz yang beraksi dengan baik pada musim ini dan beberapa pemain tengah muda yang lain.

TMJ turut menyatakan beliau menghargai sumbangan yang diberikan bekas kapten pasukan itu namun sudah tiba masanya untuk memandang ke hadapan.

“Safiq adalah legenda, dia sudah memberikan yang terbaik. Namun, ini adalah masanya untuk memandang ke hadapan, tidak hanya statik dan membayarnya gaji yang tinggi tetapi jarang menurunkannya.

“Menguruskan sesebuah pasukan memerlukan inovasi, kemajuan dan bergerak ke hadapan. Seperti yang sudah saya katakan banyak kali, JDT adalah pelopor dan bukannya muzium,” katanya.

Antara pemain yang dicanang untuk mengisi tempat yany ditinggalkan oleh Safiq Rahim ialah Nazmi Faiz Mansor. Setelah dua musim menyertai JDT, musim hadapan merupakan peluang terbaik untuk Nazmi membuktikan bahawa beliau mampu untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pemain tengah paling berjaya dalam sejarah bola sepak Malaysia itu.

Baca Juga: Kemana Destinasi Safiq Rahim Musim Hadapan?

Leave a Reply