Sumber Gambar: FAM

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe berharap anak-anak buah beliau untuk tidak mengambil peduli dengan sorakan padu yang bakal diberikan penyokong tuan rumah dimana mereka akan turun menentang pasukan Kemboja malam ini dalam perlawanan pertama kumpulan A Piala AFF Suzuki 2018.

Para pemain negara sudah merasai tekanan beraksi di Stadium Olympic Phnom Penh apabila mereka terpaksa bangkit selepas ketinggalan satu gol sebelum menang 3-1 pada aksi persahabatan antarabangsa 10 September lalu.

“Saya harap semua pemain dapat mempamerkan semangat berpasukan dan juang yang tinggi kerana bukan mudah untuk kita bertandang ke stadium ini apatah lagi dengan sokongan padu penyokong tuan rumah.

“Saya akui sorakan padu penyokong Kemboja ditambah dengan harapan tinggi penyokong di Malaysia, pasti akan memberi tekanan kepada pemain tetapi saya harap mereka bijak mengatasinya.

“Memang kami datang untuk mendapatkan keputusan positif, kita tahu Kemboja bermain baik walaupun tidak mencatat kemenangan dalam beberapa perlawanan sebelum ini. Saya berharap pemain sudah bersedia untuk mengatasi tekanan,” kata Cheng Hoe menurut laporan Berita Harian.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu dalam pentas Piala AFF ialah pada edisi 2016 dimana Harimau Malaya yang ketika itu dibimbing oleh Datuk Ong Kim Swee menewaskan Kemboja dengan keputusan 3-2. Namun, keduanya gagal untuk mara ke pusingan seterusnya.

Pada masa yang sama, Tan Cheng Hoe teruja kerana ini ialah kali pertama beliau menuju ke Piala AFF sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan setelah sebelum ini beliau hanya menjadi orang nombor Datuk K.Rajagopal.

“Saya gembira kerana ini Piala AFF pertama saya sebagai jurulatih, apa yang penting semua pemain dalam keadaan terbaik untuk beraksi esok. Ia bukan perlawanan mudah tapi kami sudah bersedia.

“Perlawanan pada September lalu hanya perlawanan persahabatan, esok perlawanan kompetitif. Ada beberapa muka baharu dalam pasukan termasuk Sumareh yang sudah memberikan impak bagus dalam tiga perlawanan sebelum ini dan saya harap dia dapat menunjukkan permainan bagus.

“Safawi baru menerima anugerah Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia dan pastinya dia bermotivasi tinggi untuk beraksi,” katanya.

Baca Juga: Harimau Malaya Sudah Sedia Menggegar

Leave a Reply