Sumber Gambar: FAM

Pasukan kebangsaan memulakan saingan Piala AFF Suzuki 2018 dengan langkah kanan apabila berjaya menewaskan pasukan Kemboja dengan keputusan 1-0 semalam. Apa yang perlu diperbaiki oleh para pemain ialah barisan serangan perlu lebih klinikal dalam memanfaatkan peluang.

Pada perlawanan semalam, barisan serangan pasukan negara mempunyai beberapa peluang keemasan untuk menjaringkan lebih banyak gol namun pemain gagal untuk memanfaatkan peluang tersebut.

Zaquan Adha dan Norshahrul Idlan Talaha mempunyai peluang keemasan sebelum gol pertama tercipta dimana Zaquan gagal untuk membuat percubaan dengan baik begitu juga dengan Matyo.

Pada separuh masa kedua pula, Safawi Rasid turut mempunyai peluang untuk menambah jaringan pasukan negara namun percubaan pemain Johor Darul Ta’zim ini sedikit tersasar.

Namun, yang paling disayangkan ialah peluang yang dimiliki oleh Mohamadou Sumareh pada minit ke-80 dimana beliau cuma berhadapan dengan penjaga gol akan tetapi percubaan pemain sayap Pahang ini sedikit lemah dan mudah untuk diselamatkan oleh penjaga gol Kemboja.

Barisan serangan pasukan negara perlu lebih klinikal pada perlawanan kumpulan A seterusnya jika mahu mempunyai kelebihan berbanding pasukan lain dalam kumpulan.

Ini kerana jika perkiraan Head To Head digunakan dan pasukan negara tidak mempunyai jaringan gol yang besar, maka perkara itu boleh menjejaskan peluang Harimau Malaya untuk mara ke peringkat separuh akhir.

Pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe akan menerima kunjungan pasukan Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 12 November ini dan perlawanan menentang Laos merupakan peluang terbaik pasukan negara untuk mengukuhkan lagi kedudukan dalam kumpulan A.

Jika berjaya mengutip kemenangan, maka itu akan menjadi motivasi terbaim buat para pemain menjelang perlawanan ketiga kumpulan menentang pasukan Vietnam di gelanggang lawan dan pasukan Myanmar di gelanggang sendiri.

Baca Juga: Pedulikan Sorakan Padu Mereka – Tan Cheng Hoe

Leave a Reply