Sumber Gambar: TCFC

Barisan kejurulatihan dan pemain Terengganu City FC sudah hilang sabar dengan pengurusan pasukan yang mengambil mudah isu tunggakan gaji mereka.

Menurut laporan Berita Harian, seorang daripada jurulatih skuad itu yang enggan namanya didedahkan berkata, mereka sudah hilang sabar dengan janji manis pengurusan TCFC berhubung isu tunggakan gaji.

“Sampai bila kami boleh bertahan dan menanti janji kosong. Gaji kami sudah tertunggak antara empat hingga enam bulan sehingga ke hari ini, lebih menyedihkan, cek yang kami terima tidak boleh ditunaikan.

“Bayangkan hampir setengah tahun tidak dibayar gaji, bagaimana kami mahu hidup. Ada antara kami kereta mereka sudah ditarik oleh bank kerana tidak mampu bayar.

“Lebih teruk lagi ada jurulatih dan pemain dihalau keluar dari rumah sewa kerana gagal menjelaskan bayaran bulanan. Ada yang menagih simpati rakan dan keluarga untuk hidup.

“Kami fikir kejayaan menjulang trofi Liga FAM musim ini dan layak ke Liga Perdana musim depan adalah bonus kepada kami, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya hingga kami dilayan bagaikan ‘kain buruk’,” katanya.

Jurulatih tersebut mengharapkan aduan yany dibuat kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat membantu beliau dalam mendapatkan semula apa yang sepatutnya diberikan lama dahulu.

Jumlah tuntutan itu dikatakan melebihi RM200,000, membabitkan enam staf kejurulatihan, manakala tunggakan gaji pemain dianggarkan melebihi RM300,000.

Apa yang pasti, pihak pengurusan Terengganu City FC perlu segera mencari jalan penyelesaian mengenai isu tunggakan gaji ini bagi memastikan jurulatih dan pemain dapat meneruskan kehidupan mereka.

Kehidupan peribadi jurulatih dan pemain jelas terganggu dan perkara ini sekaligus membuatkan mereka tidak dapat menumpukan perhatian ketika dalam sesi latihan.

Baca Juga: TMJ Kecewa Dengan Trofi ABK 2018

Leave a Reply