Sumber Gambar: Yahoo

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengucapkan terima kasih kepada bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim di atas sumbangan beliau kepada persatuan tersebut.

Ahmad Faizal turut menyatakan bahawa beliau menyerahkan sepenuhnya pengendalian Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) kepada pengurusan sedia ada persatuan itu.

“Keputusan beliau (Hasnul) untuk meletakkan jawatan adalah satu keputusan yang saya kesali kerana beliau sudah menjalankan tanggungjawab dengan begitu baik.

“Namun mungkin kerana menghormati pandangan orang ramai dan kesal dengan kesilapan kecil yang dilakukan menyebabkan beliau membuat keputusan yang besar bagi menjanjikan pasukan Perak lebih berjaya di masa akan datang,” katanya kepada Berita Harian.

Selain mengucapkan terima kasih kepada Hasnul sebagai tanda penghargaan, Datuk Seri Ahmad Faizal masih lagi memutuskan sama ada beliau berminat untuk menjadi Presiden PAFA setelah ada beberapa kelab penyokong mahukan beliau menggantikan Hasnul.

“Mengenai cadangan beberapa kelab penyokong untuk saya memegang jawatan presiden PAFA, pada saya buat masa ini kita lebih memikirkan tentang bagaimana kita nak raikan kejayaan memenangi Piala Malaysia bersama rakyat dan dan penyokong.

“Saya fikir terlalu awal bagi saya untuk beri pandangan tentang siapa yang akan ambil alih kerusi presiden PAFA namun saya juga yakin barisan EXCO dan barisan jawatankuasa (PAFA) yang ada tentunya mampu menggalas tanggungjawab persatuan buat masa ini,” tambah beliau.

Setelah diasak bertubi-tubi, akhirnya Hasnul mengalah dan melepaskan jawatan beliau berikutan tindakan kontroversinya yang meletakkan trofi Piala Malaysia di celah kangkangnya.

Kini kerusi presiden PAFA masih lagi belum diisi oleh mana-mana individu dan calon yang bakal dipilih selepas ini bakal berdepan cabaran yang besar untuk mengekalkan rentak cemerlang pasukan.

Baca Juga: Hasnul Zulkarnain Akhirnya Akur Dengan Desakan

Leave a Reply