Sumber Gambar: Terengganu FC

Kerajaan negeri Terengganu memutuskan untuk tidak memberi sebarang imbuhan kepada pasukan Terengganu FC setelah mereka hanya mmapu muncul sebagai naib juara Piala Malaysia edisi 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, langkah itu terpaksa diambil berikutan keadaan kewangan kerajaan yang kurang mengizinkan.

Kata Wan Sukairi, pegawai dan pemain pasukan bimbingan Irfan Bakti Abdul Salim memahami kedudukan kewangan kerajaan negeri menyebabkan insentif tidak dapat diberikan.

“Kerajaan negeri tidak pernah berjanji untuk memberi insentif kepada pemain pasukan TFC, sebaliknya imbuhan hanya akan diberi pertimbangan jika menjuarai Piala Malaysia.

“Walaupun hanya muncul naib juara, tapi kerajaan negeri bangga dengan aksi cemerlang semua pemain yang terpaksa mengerah kudrat selama 120 minit sebelum kejuaraan ditentukan melalui sepakan penalti,” katanya kepada Berita Harian.

Sebelumnya, khabar mengenai imbuhan yang bakal diterima pemain dan pegawai pasukan Terengganu FC menjadi topik perbincangan apabila mereka gagal untuk menepati sasaran yang diletakkan iaitu muncul sebagai juara Piala Malaysia 2018.

Terengganu tewas kepada pasukan Perak dalam satu perlawanan akhir yang diheret sehingga ke penentuan sepakan penalti.

Selain tidak mendapat imbuhan, pasukan Terengganu FC turut kehilangan 9 pemain dimana salah satunya ialah nadi utama pasukan dalam kancah Piala Malaysia edisi kali ini iaitu Mohd Faiz Nasir.

Faiz dikhabarkan semakin hampir untuk menyertai pasukan Melaka United. Selain Faiz, 8 lagi pemain yang dimaksudkan adalah J.Partiban, Fitri Omar, Muhammad Fauzi Abdul Kadar, Abdul Latiff Suhaimi, Azi Shahril Azmi, pemain import dari Korea Selatan, Do Dong Hyun selain dua penjaga gol simpanan, Muhammad Syazwan Yusoff dan Mohd Faizal Yusof.

Baca Juga: Terengganu FC Kehilangan 9 pemain

Leave a Reply