Sumber Gambar: Goal.com

Bekas pemain import pasukan Kedah, Sandro Da Silva berpeluang cerah untuk kembali mewarnai saingan Liga Malaysia apabila dua pasukan dikhabarkan berminat untuk membawa masuk khidmat beliau.

Menurut laporan Berita Harian, ada sumber yang memberitahu kepada mereka bahawa Melaka United dan Felda United berminat untuk mendapatkan khidmat Sandro.

Menurut sumber tersebut, selain pencapaian Sandro ketika mewakili Kedah, komitmen dan tahap disiplin beliau menjadi sebab utama mengapa pasukan Liga Malaysia masih berminat untuk mendapatkan khidmat Sandro.

“Jadi tidak hairanlah dia sentiasa diintai pasukan tempatan dan luar negara. Saya yakin Sandro dapat membuat pilihan yang tepat untuk musim baharu nanti.

“Kedua-dua pasukan itu telah menunjukkan peningkatan yang baik dalam Liga M musim ini dan pastinya mahu mendapatkan pemain berpengalaman dan berkualiti,” katanya.

Setelah tiga setengah musim beraksi bersama pasukan Kedah, pihak pengurusan skuad Hijau Kuning itu kemudiannya memutuskan untuk tidak menyambung kontrak Sandro dan mahu mencari pemain import lain menjelang saingan Liga Malaysia 2019.

Dua pasukan yang dikatakan berminat dengan khidmat Sandro iaitu Melaka United dan Felda United masing-masing mempunyai ketua jurulatih yang baru. Melaka dibimbing oleh Zainal Abidin Hassan manakala Felda United pula dibimbing oleh Nidzam Jamil.

Melaka nampaknya mahu memperkuatkan pasukan bagi mengelakkan mereka bersaing di peringkat bawahan Liga Super seperti yang terjadi pada dua musim terakhir. Sudah pasti mereka mahu membawa masuk pemain terbaik untuk memperkuatkan pasukan.

Bagi pasukan Felda United pula, mereka kembali beraksi dalam saingan Liga Super setelah semusim terpaksa bermain dalam saingan Liga Perdana. Felda sudah pasti tidak mahu sekadar menjadi pasukan pelengkap dan mereka mahu menjadi pasukan yang digeruni dan mencabar kejuaraan seperti sebelum mereka tersingkir ke Liga Perdana.

Apa yang pasti, Sandro Da Silva masih lagi mampu menampilkan aksi terbaik walaupun berusia 35 tahun dan rekod beliau ketika beraksi bersama pasuka Kedah sudah cukup untuk dijadikan sebagai bukti.

Baca Juga: Kedah Wajar Kekalkan Sandro Da Silva

Leave a Reply