Sumber Gambar: Felcra FC

Felcra FC yang menarik diri daripada saingan Liga Malaysia musim hadapan harus bermula dari bawah sekiranya mereka mahu kembali mewarnai Liga Malaysia pada masa akan datang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam, Felcra harus menerima hukuman yang bakal dikenakan oleh oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terlebih dahulu sebelum boleh mula membabitkan diri dalam saingan Liga Malaysia.

“Hanya FAM yang boleh mengambil tindakan ke atas FELCRA FC membabitkan isu penarikan diri ini. Jika ada tindakan contohnya penggantungan, mereka perlu menamatkan hukuman terlebih dahulu dan selepas itu barulah mereka boleh kembali beraksi.

“Namun, mereka tidak akan terus ke Liga Super. Mereka perlu bermula dari bawah iaitu beraksi dalam saingan liga amatur terlebih dahulu di Liga M5 dan kemudiannya berusaha untuk mendapatkan promosi sehinggalah berjaya kembali ke saingan divisyen satu itu,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Felcra beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini bagi menggantikan pasukan Sime Darby yang menarik diri sebelum musim bermula. Pasukan bimbingan Tarcisio Pugliese ini kemudiannya berjaya menamatkan saingan Liga di tangga kedua di belakang Felda United dan mereka layak untuk beraksi dalam saingan Liga Super musim hadapan.

Akan tetapi, kekangan kewangan yang dihadapi oleh pasukan membuatkan pengurusan Felcra FC membuat keputusan untuk menarik diri daripada saingan Liga Malaysia.

Menurut Timbalan Presiden FELCRA FC, Datuk Hazian Murad yang menjelaskan jumlah tajaan ditambah geran diterima daripada badan induk itu masih belum mencukupi untuk menguruskan pasukan.

Datuk Hazian berkata tindakan menarik diri sebelum musim baharu bermula dirasakan satu tindakan yang betul sekaligus mengelak berlakunya masalah di pertengahan liga sekiranya pasukan itu memutuskan untuk terus beraksi.

Kini, MFL sedang mencari pengganti bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Felcra FC dan pasukan yang menamatkan saingan Liga Perdana 2018 di tangga ketiga, MISC-Mifa menjadi pilihan utama untuk dinaikkan pangkat ke Liga Super musim hadapan.

Baca Juga: Felcra FC Bakal Lunaskan Gaji Pemain

Leave a Reply