Sumber Gambar: Goal.com

Ketua jurulatih Terengganu FC, Irfan Bakti telah mengenal pasti pengganti kepada pemain sayap lincah pasukan, Faiz Nasir yang memutuskan untuk mencari haluan baru menjelang saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Nama pemain tengah Felda United, Ahmad Syamim Yahya menjadi pilihan Irfan untuk menjadi pengganti kepada Faiz manakala rakan sepasukan Syamim, Khairu Azrin Khazali bakal menggantikan seorang lagi pemain yang meninggalkan pasukan, J.Partiban.

Menurut Irfan, beliau sudah sedaya-upaya cuba untuk mengekalkan khidmat Faiz dan juga Partiban. Malah pengurusan pasukan telah memberikan tawaran baru kepada kedua-dua pemain namun mereka menolak dan mahu mencari cabaran baru pada saingan musimhadapan.

Faiz dikaitkan dengan perpindahan ke Melaka United manakala J.Partiban pula telah menyertai juara Piala Malaysia 2018, Perak dimana beliau juga pernah mewakili skuad The Boss Gaurus pada musim 2014 lalu.

Untuk rekod, Syamim Yahya pernah beraksi di bawah kendalian Irfan Bakti ketika jurulatih berusia 67 tahun ini menjadi jurulatih pasukan Felda United pada musim 2013 hingga 2016. Apabila Irfan berhijrah untuk mengendalikan Terengganu FC pada tahun berikutnya, Syamim turut mengambil langkah sama dimana beliau menyertai pasukan Pahang.

Musim ini, Syamim Yahyah dan Khairu Azrin berjaya membantu Felda United muncul juara Liga Perdana dan melayakkan diri untuk beraksi dalam saingan Liga Super musim hadapan setelah dipaksa untuk turun kerana masalah perlesenan kelab pada awal tahun ini.

Syamim dilihat tiada masalah untuk menyesuaikan diri dalam sistem yang digunakan oleh Irfan kerana beliau keduanya pernah bekerjasama sebelum ini.

Apa yang pasti, pengurusan pasukan Terengganu FC perlu membawa masuk pemain yang berkualiti bagi mengekalkan rentak cemerlang pasukan menuju ke saingan Liga Malaysia musim 2019.

Irfan Bakti sendiri telah menetapkan sasaran untuk menamatkan dominasi Johor Darul Ta’zim dalam saingan Liga Super dalam lima musim terakhir. Untuk mencapai sasaran tersebut, sudah pasti Terengganu FC memerlukan ramai pemain berkualiti bagi menandingi kekuatan yang dimiliki oleh juara Liga Super 2018 itu.

Baca Juga: Faiz Nasir Hampir Pasti Tinggalkan Terengganu FC

Leave a Reply