Sumber Gambar: Kompas Bola

Pasukan Indonesia terus kempunan dalam usaha mereka menjadi juara Piala AFF Suzuki apabila tersingkir di peringkat kumpulan setelah perlawanan diantara pasukan Filipina menentang Thailand berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan semalam.

Nasib Indonesia dalam saingan edisi 2018 bergantung kepada keputusan perlawanan diantara Filipina menentang Thailand. Skuad Garuda mengharapkan The Azkals tewas kepada Thailand bagi mencerahkan peluang untuk mara ke peringkat separuh akhir dimana kedua-dua pasukan akan berentap pada perlawanan terakhir kumpulan.

Namun, barisan pertahanan Azkals kental bertahan bagi mengekang segala asakan yang diberikan oleh barisan serangan Thailand sekaligus berjaya mendapatkan satu mata.

Indonesia sebelum ini telah melangah ke perlawanan akhir sebanyak 5 kali namun mereka masih lagi gagal untuk memenangi sebarang kejuaraan. Kali pertama Indonesia menjejakkan kaki ke perlawanan akhir ialah pada edisi 2000 dimana mereka tewas kepada pasukan Thailand.

Pada 2002, skuad Garuda sekali lagi berdepan dengan skuad Gajah Putih namun mereka dikecewakan setelah tunduk dalam penentuan sepakan penalti. Tidak terhenti setakat edisi 2002, Indonesia mara ke perlawanan akhir buat kali ketiga berturut-turut pada edisi 2004 dimana mereka menghadapi pasukan Singapura.

Indonesia tewas dalam kedua-dua perlawanan akhir dan mereka terpaksa menunggu enam tahun sebelum kembali menjejakkan kaki ke perlawanan akhir. Pada edisi 2010, Indonesia bertemu dengan Malaysia dimana pasukan bimbingan Datuk K.Rajagopal ketika itu lebih unggul apabila memenangi perlawanan akhir dengan keputusan agregat 4-2.

Enam tahun berselang, pada edisi 2016 lalu, pasukan yang dibimbing oleh Alfred Riedl ini berjaya melangkah ke perlawanan akhir dan mereka bertemu pasukan Thailand. Meskipun memenangi perlawanan akhir pertama di tempat sendiri namun Thailand lebih gah apabila mereka memenangi perlawanan akhir kedua sekaligus mengesahkan kemenangan 3-2 secara agregat.

Harapan tinggi diletakkan oleh peminat pada skuad kali ini setelah berjaya mara ke perlawanan akhir pada edisi lalu. Namun, kekalahan kepada Singapura pada perlawanan pertama menjadi petanda malapetaka sedang menunggu Indonesia dalam saingan edisi kali ini.

Pasukan yang dibimbing oleh Bima Sakti ini berjaya menewaskan Timor Leste pada perlawanan kedua. Akan tetapi, mereka kemudiannya tewas 4-2 kepada juara bertahan iaitu Thailand pada perlawanan ketiga.

Meskipun ada sinar buat Garuda, namun mereka terus kempunan dalam menjari kejuaraan sulung dimana keputusan perlawanan diantara Filipina dan Thailand tidak berpihak kepada mereka.

Baca Juga: Kelab Indonesia Dan Thailand Mahukan Khidmat Safiq Rahim

Leave a Reply