Sumber Gambar: Skanaa

Penjaring terbanyak saingan Liga 1 Indonesia musim 2017, Sylvano Comvalius dikhabarkan menjadi rebutan beberapa pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Super musim hadapan.

Menurut seorang sumber yang memberitahu kami, Sylvano kini sedang berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri proses rundingan dengan beberapa pasukan. Penyerang berusia 31 tahun ini beraksi bersama Suphanburi FC dalam saingan Thai League 1 musim ini.

Sebelum menyertai Suphanburi, Sylvano menampilkan prestasi yang sangat luar biasa dimana beliau menjadi penjaring terbanyak Liga 1 Indonesia musim 2017 apabila beraksi bersama Bali United. Pemain yang dilahirkan di Belanda ini menjaringkan 37 gol, jauh meninggalkan pemain di tempat kedua iaitu Marclei Santos yang beraksi untuk Mitra Kukar dengan 24 gol dan pemain di tempat ketiga, Beto Gonclves yang beraksi untuk Sriwijaya dengan 22 gol.

Setelah beraksi dengan cemerlang bersama Bali, Sylvano Comvalius kemudiannya mencuba nasib dengan beraksi dalam saingan Thai League 1 dan beliau menyertai Suphanburi FC. Namun, sesuatu yang indah nyata tidak kekal lama.

Sylvano gagal untuk mengulangi prestasi cemerlang seperti musim sebelumnya bersama Suphanburi dalam saingan Thai League 1 musim ini. Bukan saja itu, malah beliau gagal untuk menjaringkan sebarang gol dan hanya tampil sebanyak 7 kali dalam saingan liga.

Prestasi yang tidak memberangsankan ini menjadi faktor utama mengapa Sylvano memilih untuk tidak meneruskan kontrak beliau bersama kelab yang berpangkalan di wilayah Supan Bhuri itu. Suasana serta cabaran yang berbeza berbanding Liga 1 nyata menyukarkan beliau untuk beraksi dengan baik.

Pada pertengahan musim 2018, Sylvano pernah dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan Kedah bagi menggantikan Pablo Pallares. Selain itu, beliau juga dikaitkan dengan pasukan Bali United dimana Bali ketika itu menghadapi sedikit masalah di bahagian serangan.

Apa yang pasti, Sylvano bakal menjadi satu signing yang baik kepada mana-mana pasukan yang berjaya mendapatkan khidmat beliau. Pengalaman yang dimiliki serta rekod jaringan yang baik sedikit-sebanyak bakal membantu pemain ini untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran Liga Malaysia.

Baca Juga: Harimau Malaya, Jangan Gentar Kita Lawan

Leave a Reply