Sumber Gambar: @mysoccerleague

Masa depan bekas pemain tengah pasukan negara, Badhri Radzi akhirnya terjawab apabila beliau menyertai pasukan yang sinonim dengan gelaran Singa Utara iaitu pasukan Perlis.

Gambar yang mengandungi Piya serta presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) Datuk Amizal Shaifit Ahmad Rafie beredar di media sosial dan gambar tersebut menguatkan lagi perpindahan Piya dengan menyertai pasukan Perlis.

Setelah dilepaskan oleh pasukan Kelantan pada pertengahan Liga Malaysia musim 2018, Badhri Radzi tidak menyertai mana-mana pasukan walau ada pasukan yang berminat dengan khidmat beliau.

Juara Liga Perdana 2018, Felda United dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmat Piya. Namun, kekangan kewangan menyebabkan pasukan itu terpaksa melupakan hasrat untuk membawa masuk Piya.

Pengurusan pasukan Kelantan mengambil keputusan untuk melepaskan Piya dan dua lagi pemain senior iaitu Khairul Fahmi Che Mat dan Nor Farhan Muhammad kerana tidak menepati selera ketua jurulatih ketika itu, Fajr Ibrahim.

Fajr lebih gemar untuk menggunakan tenaga muda dalam kesebelasan utama dan beliau seolah-olah tidak mempedulikan pemain senior seperti Piya dan Apek.

Selain membawa masuk Badhri Radzi, ada beberapa pemain yang menyertai skuad Singa Utara bagi saingan musim 2019. Antara pemain yang menyertai Perlis ialah bekas penyerang skuad kebangsaan, Khyril Muhymeen, bekas pemain Selangor, Azmi Muslim, Fauzi Roslan dan Abdul Manaf Mamat.

Melihat kepada barisan pemain yang dibawa masuk, nampaknya Perlis mahu kembali beraksi di peringkat tertinggi Liga Malaysia. Ketika ini masih belum jelas sama ada mereka bakal kekal beraksi di Liga FAM ataupun mengisi slot bagi beraksi dalam saingan Liga Perdana musim hadapan.

Baca Juga: Perlis Mahu Khidmat Badhri Radzi

Leave a Reply