Sumber Gambar: FourFourTwo

Bekas pemain skuad kebangsaan, Lim Chan Yew menggesa para pemain negara untuk tidak mempersiakan peluang pada perlawanan separuh akhir kedua saingan Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Rajamangala malam ini.

Menurut Chan Yew, aksi yang ditunjukkan oleh para pemain pada perlawanan separuh akhir pertama jelas menunjukkan peningkatan dimana pemain mengamalkan corak hantaran pendek serta kawalan bola yang baik sepanjang perlawanan.

Namun, kelemahan di barisan serangan telah membantutkan hajat Harimau Malaya untuk memperoleh bekalan awal menuju ke perlawanan kedua hari ini.

“Memang sukar untuk mana-mana pasukan terutamanya pasukan dari rantau Asean untuk menundukkan mereka (Thailand) di sana.

“Tapi dalam bola sepak apa saja boleh berlaku. Malah, kalau lihat pada aksi pertama di Bukit Jalil, Malaysia jelas lebih baik daripada mereka cuma kita dikecewakan oleh sentuhan penyerang kita.

“Saya percaya jika pemain penyerang kita boleh menggunakan setiap peluang yang hadir, tak mustahil kita boleh menang di Bangkok nanti.

“Semuanya atas diri pemain kerana jurulatih tidak banyak masa untuk memperbaiki dalam tempoh tiga ke empat hari selepas tamat separuh akhir pertama,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Lim Chan Yew turut menasihati para pemain agar sentiasa mengawasi gerak-geri pemain lawan khususnya di bahagian serangan kerana mereka gemar untuk melakukan melakukan larian daripada belakang untuk memerangkap pertahanan negara.

Dengan keputusan seri 0-0 di Bukit Jalil, sedikit-sebanyak ianya memberi kelebihan buat Malaysia apabila hanya perlu seri dengan keputusan 1-1 dan mereka akan melangkah ke perlawanan akhir saingan edisi kali ini.

Akan tetapi, pasukan Thailand sudah pasti tidak mahu membiarkan Malaysia mencatat keputusan positif dan mereka akan menyerang secara habis-habisan benteng pertahanan negara pada malam ini. Jika pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe berjaya menjaringkan gol, maka perkara itu akan menyukarkan Thailand.

Tambahan pula skuad Gajah Perang bakal beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong dan beraksi di gelanggang keramat mereka iaitu Stadium Rajamangala.

Baca Juga: Mimpi Ngeri Menanti Malaysia – Chatchai Budprom

Leave a Reply