Sumber Gambar: Kelantan FA

Bekas ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah sah dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan Kuala Lumpur yang baru menjelang saingan Liga Malaysia musim 2019.

Perkara ini diumumkan oleh pihak Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) menerusi laman media sosial rasmi pasukan sebentar tadi.

Pelantikan Yusri Che Lah sebagai ketua jurulatih baru skuad The City Boys ini sekaligus memberi jawapan kepada persoalan yang membelenggu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sebelum ini.

KAFA sebelumnya masih menunggu kata putus daripada bekas pemain Perlis ini sama ada mahu terus menggalas tugas sebagai ketua jurulatih pasukan ataupun tidak. Yusri sendiri memberi jaminan bahawa beliau akan membuat keputusan sekembalinya beliau daripada menunaikan ibadah Umrah pada 9 Disember mendatang.

Namun, hari ini secara tiba-tiba pihak KLFA mengumumkan bahawa Yusri bakal mengendalikan pasukan bagii saingan Liga Malaysia musim hadapan. Hal ini dilihat sedikit mengejutkan dimana jurulatih UKM FC, Sulaiman Husin dikhabarkan menjadi pilihan utama untuk mengisi kekosongan tersebut.

Namun, pihak pengurusan pasukan Kuala Lumpur dilihat lebih tertarik untuk membawa masuk Yusri berbanding Sulaiman Hussin. Sulaiman berjaya membimbing UKM FC mara ke perlawanan akhir Piala Cabaran 2018 namun tewas di tangan pasukan Terengganu FC II.

Selain pengumuman Yusri sebagai ketua jurulatih pasukan yang baru, KLFA turut mengumumkan bahawa mereka menandatangani seorang pemain import iaitu Sylvano Comvalius dari Belanda yang beraksi sebagai penyerang.

Besar kemungkinan Sylvano akan digandingkan dengan penyerang import sedia ada, Guilherme De Paula di bahagian serangan bagi saingan musim 2019.

Untuk rekod, Sylvano pernah menjadi penjaring terbanyak Liga 1 Indonesia pada musim 2017 dengan menjaringkan 37 gol ketika mewakili Bali United.

Baca Juga: KAFA Tunggu Kata Putus Dari Yusri

Leave a Reply