Sumber Gambar: FAM

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mahukan skuad Harimau Malaya untuk membawa pulang trofi Piala AFF Suzuki edisi 2018 ke bumi Malaysia.

Datuk Hamidin menyaksikan sendiri bagaimana Malaysia membenam cabaran Thailand di gelanggang keramat mereka iaitu Stadium Rajamangala pada perlawanan separuh akhir kedua semalam.

“Tiada pilihan lain kecuali membawa pulang Piala AFF ke Malaysia!”

“Syukur kerana kita berjaya melangkah ke final Piala AFF 2018 namun perlawanan akhir nanti adalah fasa yang jauh berbeza dan mereka perlu terus kekal fokus untuk aksi terbabit.

“Kita memasuki pertandingan ini jadi bagi saya, tidak ada harumnya kalau kita gagal menjadi juara pada edisi kali ini. Ini juga peluang terbaik untuk pemain mencipta satu lagi sejarah,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Tambah Datuk Hamidin, beliau gembira dengan komitmen yang ditunjukkan oleh pemain negara sehingga berjaya menghumban Thailand keluar di laman keramat mereka.

“Saya katakan kepada pemain bahawa mereka akan berdepan perlawanan yang lebih sukar di sini dan terbukti, Thailand begitu bertenaga namun mereka dapat menyerap tekanan yang diberikan lawan.

“Pemain memberikan komitmen yang begitu tinggi dan semangat juang yang tidak mudah berputus asa apabila berjaya bangkit walaupun ketinggalan sebanyak dua kali.

“Bukan hanya setakat komitmen pemain tetapi saya kira kejayaan ini juga adalah berkat doa dari seluruh rakyat Malaysia,” tambahnya.

Kali terakhir trofi Piala AFF Suzuki berjaya dibawa pulang ke bumi Malaysia ialah pada tahun 2010 dimana Harimau Malaya menewaskan pasukan Indonesia pada perlawanan akhir. Pasukan bimbingan Datuk K.Rajagopal ketika itu memenangi perlawanan akhir dengan keputusan 4-2.

Kini, pasukan Malaysia mempunyai peluang keemasan untuk sekali lagi memenangi trofi yang dipertandingkan dua tahun sekali itu.

Jika berjaya mengekalkan momentum cemerlang serta corak permainan seperti perlawanan di peringkat separuh akhir, tidak mustahil Norshahrul Idlan Talaha dan rakan-rakan bakal membawa pulang trofi dan menjadikan Harimau Malaya raja di Asia Tenggara.

Baca Juga: KBS Sedia Bantu Penyokong Untuk Awayday

Leave a Reply