Sumber Gambar: FAM

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu mesyuarat kali kesembilan bagi penggal 2017-2021 pada 3 Disember lalu telah membuat keputusan untuk membenarkan pemain Kedah, Muhammad Akhyar Abdul Rashid untuk menebus kontrak beliau dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KAF) dengan nilai RM210,000.

Perkara ini diumumkan oleh FAM melalui laman sesawang rasmi badan induk bola sepak negara itu pada semalam.

Setelah membayar pampasan kontrak sebanyak RM210,000, pemain berusia 19 tahun ini bebas untuk menyertai mana-mana pasukan ataupun kelab yang berminat dengan khidmat beliau pada musim 2019.

Sebelum ini, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Anas Hafiz Mustafa menyatakan bahawa Johor Darul Ta’zim menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmat Akhyar. Namun, tiada “hitam putih” antara juara Liga Super 2018 ini dengan pihak KFA.

Akhyar dikatakan meminta pelepasan daripada KFA kerana beliau mahu menyertai pasukan baru pada saingan Liga Malaysia musim hadapan. Akan tetapi, KFA enggan berbuat demikian kerana Akhyar masih lagi mempunyai baki kontrak bersama persatuan tersebut.

Setelah KFA enggan melepaskan beliau, Akhyar kemudiannya membawa perkara ini kepada FAM dan badan induk itu bertindak sebagai “orang tengah” dalam menyelesaikan konflik antara Akhyar dan juga KFA.

Selang beberapa hari kemudian, Pengarah Teknikal Sukan Bola Sepak Johor Darul Ta’zim, Alistair Edwards kemudiannya menafikan pihaknya cuba untuk mendapatkan Akhyar melalui “jalan belakang” yakni tanpa melakukan rundingan bersama KFA.

Dalam kenyataan yang sama, Edwards juga tidak menolak jika Akhyar mahu menyertai JDT kerana pemain itu berhak untuk membuat keputusan mengenai masa depan beliau.

Selain daripada jumlah penebusan kontrak kepada KFA, FAM turut mengumumkan mana-mana pasukan yang mahu mengambil khidmat Akhyar Rashid perlu membayar sebanyak RM75,000 kepada Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sebagai pampasan latihan pemain muda lincah tersebut.

Apa yang pasti, kini perbalahan antara Akhyar dan KFA telah menemui titik terang dan beliau boleh menumpukan sepenuh perhatian menjelang perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018.

Baca Juga: JDT Kecewa Dituduh “Ikut Pintu Belakang”

Leave a Reply