Sumber Gambar: Changsuek

Ketua jurulatih pasukan Thailand, Milovan Rajevac berpendapat Malaysia sememangnya layak untuk mara ke pentas final saingan Piala AFF Suzuki 2018.

Menurut Rajevac, Malaysia lebih bersemangat dan agresif sepanjang perlawanan sekaligus berjaya menyingkirkan pasukan bimbingan beliau.

“Saya tidak berpuas hati kerana kami tidak layak, tetapi ini adalah sebahagian daripada pengalaman buat pemain.

“Tahniah buat Malaysia kerana mereka memang berhak ke pentas final. Malaysia menunjukkan kesungguhan, agresif untuk mara,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Perlawanan separuh akhir kedua diantara kedua-dua pasukan di Stadium Rajamangala semalam berakhir dengan keputusan 2-2 sekaligus memihak kepada pasukan negara dengan kelebihan jaringan di tempat lawan.

Thailand terlebih dahulu membuka tirai jaringan apabila pemain pertahanan negara, Irfan Zakaria tertampan bola ke gawang sendiri setelah Thailand melancarkan gerakan serangab. Syahmi Safari kemudiannya berjaya menyamakan kedudukan menerusi satu screamer dari luar kotak penalti.

Pada separuh masa kedua, Thailand sekali lagi berada di hadapan menerusi tandukan Pansa Hemviboon. Namun, Norshahrul Idlan Talaha menjadi penyelamat skuad Harimau Malaya apabila menjaringkan gol kedua negara sekaligus gol kemenangan di Rajamangala.

Thailand mempunyai peluang keemasan untuk mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir namun Adisak Kraisorn gagal menyempurnakan sepakan penalti. Menurut Rajevac, perkara sebegitu berlaku dalam bola sepak.

“Kami memiliki peluang menerusi sepakan penalti, tetapi gagal mengambil peluang itu dengan baik, tetapi ini boleh berlaku dalam bola sepak,” tambahnya.

Barisan pemain yang diturunkan dalam perlawanan semalam nyata menampilkan satu persembahan yang cemerlang serta mempunyai semangat tidak menyerah kalah. Barisan tengah dan pertahanan berjaya menyerap segala asakan yang diberikan oleh pemain di bahagian serangan Thailand manakala jentera serangan negara berjaya mengkucar-kacirkan benteng pertahanan lawan.

Lawan Malaysia di pentas final akan ditentukan pada hari ini apabila Filipina akan bertandang ke Hanoi bagi menghadapi pasukan Vietnam pada perlawanan separuh akhir kedua. Vietnam mempunyai kelebihan apabila memenangi perlawanan pertama di Bacolod dengan keputusan 2-1.

Baca Juga: Harimau Malaya Jejakkan Kaki Ke Perlawanan Akhir!

Leave a Reply