Sumber Gambar: Changsuek

Gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit-minit akhir permainan itu sememangnya perih. Adisak Kraisorn terlepas peluang untuk menghantar Thailand ke perlawanan akhir ke-8 mereka dalam saingan Piala AFF Suzuki apabila sepakan penalti beliau tidak menepati sasaran.

Ketika kedudukan terikat 2-2, Thailand dianugerahkan sepakan penalti setelah pemain pertahanan negara, Syahmi Safari tertampan bola dalam kawasan penalti. Kraisorn diberikan tanggungjawab untuk mengambil sepakan tersebut memandangkan beliau ialah penjaring terbanyak kejohanan setakat ini.

Namun, hancur berkecai hati peminat Thailand apabila sepakan beliau melambung tinggi malah lebih tinggi daripada sepakan Safawi pada perlawanan pertama seterusnya menyingkirkan juara bertahan ini daripada saingan edisi 2018.


Sumber Video: Segget Productions

Pemain bintang Thailand, Chanatip Songkrasin dan Charyl Chappuis kemudiannya memberikan sokongan kepada rakan sepasukan mereka. Kedua-dua pemain menggunakan laman media sosial Instagram untuk menzahirkan sokongan kepada Adisak.

Chanatip yang memenangi Piala AFF edisi 2014 bersama Adisak menyeru untuk pemain berusia 27 tahun ini terus berjuang. Chanatip tidak menyertai skuad kali ini kerana terikat komitmen bersama kelab J League, Consadole Sapporo.

Seorang lagi pemain yang menjadi watak penting pasukan Thailand pada edisi 2014, Charyl Chappuis menggunakan IG Story beliau untuk memberikan sokongan.

Dalam Ig Story Charyl, beliau menulis, “Brother (Adisak), Heads up, this is football. Sometimes you are the hero and sometimes not. But most important is to always to stand up no matter what. Try again, fight and believe in yourself.”

Meskipun Thailand sudah tersingkir, namun Adisak Kraisorn masih lagi mengungguli carta penjaring terbanyak kejohanan dengan kelebihan 3 gol di atas pencabar terdekat iaitu penyerang negara, Norshahrul Idlan Talaha yang telah berjaya menjaringkan 5 gol setakat ini.

Norshahrul masih berpeluang untuk memintas Kraisorn andai beliau tampil dengan cemerlang pada perlawanan akhir. Lawan Malaysia di pentas akhir akan ditentukan hari ini sama ada kita akan menghadapi pasukan Vietnam ataupun Filipina.

Baca Juga: Malaysia Berhak Ke Pentas Final – Rajevac

Leave a Reply