Sumber Gambar: Sportflex

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersedia untuk mencadangkan gol yang dijaringkan oleh pemain pertahanan negara, Syahmi Safari bagi Anugerah Puskas FIFA.

Rembatan dari luar kotak penalti pada perlawanan separuh akhir kedua menentang Thailand di Stadium Rajamangala pada Rabu lalu yang dilakukan oleh Syahmi berjaya membantu Malaysia mara ke pentas final dan jaringan tersebut dianggap layak untuk diangkat sebagai gol terbaik kejohanan.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata jaringan tersebut sememangnya cantik dan pihaknya bersedia untuk mencalomkan gol itu dalam Anugerah Puskas FIFA.

“Saya nampak itu (gol Syahmi) yang terbaik dan saya akan bincang dengan bahagian teknikal sama ada jaringan itu perlu atau sesuai untuk kita calonkan nanti,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Sang penjaring gol pula berpendapat masih ada banyak gol lain yang beliau anggap lebih cantik dan lebih baik namun pemain berusia 20 tahun ini menyambut baik jika gol beliau dicalonkan.

“Saya rasa ada banyak lagi gol cantik yang dijaringkan sebelum ini oleh pemain lain. Tapi kalau betul, saya tak kisah dan menyambut baik benda itu,” kata Syahmi.

Sebelum ini, bekas pemain Pulau Pinang, Faiz Subri menjadi sebutan dunia bola sepak apabila sepakan percuma beliau ketika perlawanan Liga Super 2016 antara Pulau Pinang menentang Pahang memenangi Anugerah Puskas.

Jaringan Faiz mendapat pujian dan ramai yang berpendapat jaringan terbabit cukup berkualiti dan berkelas dunia.

Apa yang pasti, gol cantik yang dijaringkan oleh Syahmi boleh memberikan suntikan semangat kepada pemain lain menjelang perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 menentang pasukan Vietnam.

Meskipun Syahmi tidak akan beraksi pada perlawanan pertama, diharapkan pemain yang mengisi kekosongan yang ditinggalkan mampu untuk menampilkan aksi terbaik seterusnya memberikan kelebihan awal untuk Harimau Malaya.

Perlawanan pertama akan diadakan pada 11 Disember ini di Stadium Nasional Bukit Jalil manakala perlawanan akhir kedua akan diadakan di Stadium My Dinh pada 15 Disember.

Baca Juga: Malaysia Dalam 2 Tahun – From Zero To Hero

Leave a Reply