Sumber Gambar: Berita Harian

Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) sah melantik bekas pemain skuad kebangsaan, Mohd Mat Zan Mat Aris sebagai ketua jurulatih pasukan yang baru bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Presiden PBNS, Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri, berkata beliau berharap bekas ketua jurulatih Melaka United ini dapat membantu pasukan untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.

“Saya berharap Mohd Zan dengan bantuan penolong jurulatih berpengalaman, Mohamad Zaki Sheikh Ahmad dapat mengendalikan pasukan ini dengan baik, selain memberi peluang kepada anak muda tempatan menyertai pasukan ini,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Pada masa yang sama, Mat Zan berharap beliau dapat membentuk satu pasukan yang mantap bagi memastikan Negeri Sembilan dapat bersaing dengan pasukan lain dalam saingan Liga Perdana musim hadapan.

“Saya ada menerima panggilan telefon daripada beberapa pemain yang menawarkan diri untuk menyertai pasukan ini, namun akan melihat dahulu prestasi mereka sebelum memberi kata putus.

“Apa yang saya perlukan dalam pasukan ini adalah pemain yang berkualiti serta bersemangat dan ini sebenarnya menjadi antara cabaran untuk saya,” katanya.

Ketika ini, ada 12 pemain yang masih lagi mempunyai kontrak bersama PBSNT dan Mat Zan menyasarkan 60 peratus pemain yang akan beraksi bersama pasukan musim hadapan adalah dari Negeri Sembilan.

Negeri Sembilan harus beraksi dalam saingan Liga Perdana musim hadapan setelah menamatkan saingan Liga Super musim ini di tangga tercorot. Hobin Jang Hobin dibimbing oleh tiga jurulatih sepanjang musim 2018 dan hanya mampu merekodkan empat kemenangan dalam saingan Liga.

Meskipun mempamerkan kebangkitan menuju ke penghujung saingan Liga, namun perkara tersebut tidak mencukupi dan Negeri Sembilan terpaksa berputih mata selepas hanya satu musim mereka kembali beraksi di saingan tertinggi dalam piramid bola sepak Malaysia itu.

PBNS dijangka bakal menamatkan kesemua 4 pemain import mereka musim ini dan akan membawa masuk pemain import baru.

Baca Juga: KBS Sedia Bantu Penyokong Untuk Awayday

Leave a Reply