Sumber Gambar: Yahoo Sports UK

Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menafikan khabar angin yang mengatakan mereka tidak akan menyambung kontrak tiga pemain import pasukan menjelang saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Tiga pemain import yang dimaksudkan ialah Gilmar Da Silva, Leandro Dos Santos dan Wander Luiz. Ketiiga-tiga pemain ini memainkan peranan penting dalam kempen pasukan Perak memenangi Piala Malaysia 2018.

Presiden PAFA, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata tiga pemain terbabit akan dikekalkan untuk memperkuat pasukan pada saingan musim 2019.

“Ada pihak yang cuba mewujudkan cerita mengenai pemain import kita kononnya mereka tidak akan disambung kontrak dan Perak akan mencari pemain baharu.

“Saya kira perkara ini belum lagi diputuskan dan kalau mengikut apa yang saya tahu tiga pemain import ini dikekalkan dan saya tidak tahu daripada mereka mendapat berita dan ia bukan daripada Pafa,” katanya menurut laporan Utusan.

Sebelum ini, beredar khabar angin di media sosial yang mengatakan PAFA akan menamatkan khidmat Gilmar, Leandro dan Wander Luiz bagi digantikan dengan pemain import baru untuk membawa cabaran pasukan musim 2019 nanti.

Dalam saingan Liga Malaysia musim ini, tiga pemain daripada Brazil ini memainkan peranan penting dalam kejayaan pasukan Perak menduduki tangga kedua dalam saingan Liga Super dan muncul juara Piala Malaysia 2018 dengan menewaskan pasukan Terengganu FC.

Gilmar berjaya menempatkan diri dalam senarai 10 penjaring terbanyak Liga Super dimana bekas pemain Kelantan ini menduduki tangga kelima dengan perolehan 11 jaringan.

Musim hadapan, pasukan bimbingan Mehmet Durakovic ini akan beraksi dalam saingan peringkat kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL). Perak dijadualkan berdepan kelab Hong Kong, Kitchee FC di pusingan kedua.

Tiga pemain tersebut wajar dikekalkan memandangkan persefahaman diantara mereka cukup baik dan perkara itu dilihat mampu untuk membantu Perak mengekalkan momentum cemerlang yang diraih pada musim ini.

Setakat ini, Perak hanya membawa masuk seorang pemain tempatan iaitu pemain sayap, J.Partiban daripada pasukan Terengganu FC.

Baca Juga: Akram Mahinan Sertai PKNS FC

Leave a Reply