Sumber Gambar: Perlis FA

Para pemain Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) musim ini mengakui risau kerana tunggakan gaji masih belum dibayar. Perkara ini ditambah dengan sejumlah 18 pemain yang beraksi buat pasukan pada musim 2018 tidak dipanggil untuk menyertai sesi latihan menjelang saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Menurut satu sumber yang memberitahu kepada Utusan, berdasarkan kontrak yang ditandatangani kesemuanya baru-baru ini, semua tunggakan berjumlah lebih RM1 juta itu akan dibayar bersama gaji mereka selaku pemain pada musim depan.

Malah pihak pengurusan pasukan turut bersetuju untuk mengekalkan gaji yang sama seperti mana sebelum ini.

“Mengikut kontrak itu, pembayaran akan hanya dibuat secara berperingkat-peringkat bermula 27 Disember ini sehingga Mei depan.

“Namun yang peliknya, sampai sekarang mengapa pemain tidak dipanggil mengikuti latihan. Adakah mungkin gaji pemain ini tidak akan dibayar (kerana tidak mengikuti latihan) dan begitu juga tunggakan?” kata sumber tersebut.

Menurut sumber tersebut, kenyataan yang dikeluarkan oleh PFA sebelum ini yang mengatakan tunggakan gaji pemain sudah selesai adalah tidak benar.

“Pihak pengurusan pula sudah membuat kenyataan media baru-baru ini, bahawa isu gaji PFA telah selesai, sedangkan ia belum lagi,” tambahnya.

Isu tunggakan gaji pasukan Perlis ini sudah dibawa ke pengetahuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Presiden baharu PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Shafie kemudiannya menawarkan kontrak kepada pemain dan pengurusan bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Meskipun terpalit dengan isu gaji, pasukan Perlis giat melakukan persediaan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan. Pengurusan pasukan berjaya membawa masuk beberapa nama yang pernah beraksi bersama skuad kebangsaan antaranya Azmi Muslim dan Khyril Muhymeen.

Selain dua nama di atas, Perlis juga berjaya mendapatkan khidmat bekas ketua pasukan Kelantan, Badhri Radzi.

Baca Juga: Badhri Radzi Pilih Singa Utara

Leave a Reply