Sumber Gambar: Irish Examiner

Inikan Bola berkesempatan untuk menemubual bekas pemain Chelsea dan pasukan kebangsaan Perancis, Florent Malouda pada Rabu lalu di atas jemputan pihak Stadium Astro.

Wakil kami mengajukan beberapa soalan dan Malouda mempunyai beberapa tips dan nasihat untuk pemain muda meningkatkan tahap permainan dan beraksi di peringkat tertinggi.

Inikan Bola: Selepas beraksi di Eropah untuk satu masa yang lama, mengapa anda mengambil keputusan untuk menerima tawaran daripada kelab India Super League, Delhi Dynamos ?

Florent Malouda: Selepas saya meninggalkan Chelsea, saya beraksi di Turki. Selepas itu, saya mempunyai peluang untuk beraksi di India Super League. Akan tetapi, saya memutuskan untuk kembali ke Perancis kerana rakan saya meminta saya untuk membantu kelab beliau.

Presiden Delhi Dynamos kemudiannya menghubungi saya dan bertanya adakah saya boleh membantu beliau dalam projek yang sudah dirancang. Saya bersetuju dan bertanyakan kepada beliau apa yang saya boleh bantu kerana saya mahu memainkan peranan penting dalam kelab itu.

Salah satu sebab saya menerima tawaran tersebut ialah saya mahu belajat perkara baru dan cuba untuk memahami budaya bola sepak di benua yang lain selain Eropah. Pada masa yang sama, saya juga berjumpa dengan sahabat baik.

Inikan Bola: Pada pandangan anda, apa perbezaan bola sepak Asia semasa zaman anda dan juga pada masa kini ?

Florent Malouda: Saya kerap berhubung dengan sahabat saya. Evolusi bola sepak di Asia berkembang dengan cepat. Sukan bola sepak itu sendiri universal namun kadang-kala mereka mahu beraksi menggunakan kaedah dan cara yang tersendiri.

Saya sudah menyaksikan bagaimana Malaysia, Thailand dan Vietnam beraksi. Ketiga-tiga pasukan ini menggunakan corak permainan yang berbeza. Ada negara yang menjadikan EPL dan Bundesliga sebagai rujukan. Setiap persatuan bola sepak menggunakan cara yang berbeza dan pada akhirnya semua pihak mencari keputusan baik di pasukan kebangsaan mahupun kelab.

Inikan Bola: Anda beraksi di posisi sayap sepanjang karier anda. Ketika ini Malaysia mempunyai beberapa pemain sayap muda yang mempunyai masa depan cerah. Anda ada apa-apa nasihat untuk mereka bagi meningkaykan kualiti permainan ?

Florent Malouda: Ketika saya memulakan karier profesional, Guy Lacombe meletakkan saya sebagai left back. Guy tahu saya boleh menggelecek dan boleh menjaringkan gol namun beliau meletakkan saya di posisi yang saya tak suka namun saya boleh beraksi dengan baik.

Perkara ini mengajarkan saya tentang apa yang pemain di belakang saya perlukan. Dan ini secara tidak langsung menjadikan saya pemain sayap terbaik. Satu lagi perkara ialah anda tidak boleh berminat mengenai apa yang orang lain nampak. Anda harus berminat dengan perkara yang boleh mendatangkan kebaikan buat pasukan.

Satu lagi pesanan untuk pemain muda ialah berhati-hati dengan segala ucapan tahniah yang anda terima setiap kali anda melakukan perkara yang average. Kadang-kala anda harus berdepan dengan realiti tentang persembahan anda dan selalu terima nasihat daripada pemain senior.

Inikan Bola: Berapa lama jangka masa yang diperlukan untuk pemain dari Asia terutamanya Asia Tenggara untuk menjadi regular dalam saingan Liga Perdana Inggeris attaupun liga utama Eropah ?

Florent Malouda: Perkara ini bukannya tentang berapa lama masa yang diperlukan. Ianya bergantung kepada bagaimana pemain itu faham apa yang diperlukan jika mahu beraksi di EPL dan bagaimana pemain itu berusaha untuk beraksi di peringkat tertinggi.

Kita tidak tahu kisah tentang pemain yang berjaya beraksi di EPL. Namun dari pemerhatian saya mereka melakukan pengorbanan, keluar dari zon selesa dan mereka mempunyai kepercayaan yang mereka mampu untuk menjadi pilihan utama.

Saya masih ingat apabila saya berbincang dengan beberapa pemain India. Mereka bertanyakan kepada saya adakah mereka mampu untuk beraksi di EPL dan nasihat saya ialah jika anda tidak mencuba, anda tidak akan tahu.

Jangan takut untuk mencuba dan kemudiannya gagal. Apa yang penting ialah anda sudah mencuba. Selepas anda mencuba barulah anda faham apa yang perlu dilakukan dan diperbaiki bagi beraksi di peringkat tertinggi.

Saya berasal dari Guyana. 6000 kilometer dari Perancis. Ketika umur belasan tahun saya mencuba dan kemudiannya gagal. Kemudian pada umur 15 tahun saya mempunyai peluang dan saya tinggalkan keluarga saya. Perkara ini sememangnya memerlukan pengorbanan dan mengambil masa tetapi jika anda tidak bermula hari ini, anda akan mengambil masa yang lama.

Anda boleh dengar sesi temubual penuh di sini:

Baca Juga: Pesanan Peter Reid Untuk Pemain Muda Malaysia

Leave a Reply