Sumber Gambar: PFAM

Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) membidas Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) berhubung tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan yang belum selesai namun sudah membawa masuk nama-nama besar.

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail menjelaskan PFA masih belum memberikan sebarang perkembanhan terkini membabitkan tunggakan gaji bagi musim 2016 dan 2017 selain tunggakan gaji bagi 2018 yang akan dibayar secara ansuran.

“Selagi bayaran akhir belum dibuat, isu tunggakan gaji ini tidak boleh dianggap sudah selesai. Jadi PFAM menggesa agar PFA benar-benar serius dalam isu hutang ini disebalik keghairahan menandatangani nama-nama besar bagi saingan musim hadapan.

“Tidak mustahil, jika PFA terus menerus mengabaikan tanggungjawab ini, pemain-pemain baharu akan menjadi mangsa seterusnya,” katanya menerusi kenyataan media.

Sebelumnya, PFA telah menyatakan bahawa pihaknya telah menyelesaikan tunggakan gaji para pemain dan pegawai pasukan. Beberapa nama besar seperti Badhri Radzi; Khyril Muhymeen Zambri, Azmi Muslim, Azmizi Azmi dan Amirizdwan Taj juga sudah dibawa masuk.

Izham turut menyeru kepada pasukan lain yang terpalit dengan isu gaji perlu serius dalam usaha untuk menyelesaikan masalah tanpa mengharapkan ihsan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi membantu mereka.

“PFAM melihat pasukan yang berhutang masih lagi tidak mengambil apa-apa inisiatif untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain namun ironinya sangat rancak dalam menandatangani pemain baru termasuklah pemain import bagi saingan musim hadapan.

“PFAM juga ingin menggesa pihak FAM untuk segera mengeluarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib kerana kelewatan dalam menentukan keputusan ini akan memberi kesan besar kepada pemain apabila pasukan terus terlepas dari dikenakan hukuman sebelum saingan musim baru bermula,” tambahnya.

Beberapa pasukan yang beraksi di Liga Perdana dan Liga FAM musim ini sememangnya berdepan kesukaran untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan.

Marcerra United pada pertengahan musim ini terpaksa dibubarkan kerana mereka tidak mampu untuk membayar gaji sekaligus menyelesaikan tunggakan gaji pemain. Marcerra gagal untuk hadir ke Stadium Shah Alam pada perlawanan menentang pasukan PDRM FA.

Baca Juga: Tan Cheng Hoe Sasar Piala Asia

Leave a Reply