Sumber Gambar: Asiana.my

Pasukan Puchong Fuerza berjaya muncul juara saingan Selangor Champions League musim 2018 setelah mereka berjaya menundukkan pasukan dari Klang iaitu KRU Port Klang FC di pentas final yang berlangsung di Stadium Shah Alam semalam.

Pasukan yang dibarisi oleh bekas pemain Selangor iaitu Syamim Othman dan Afiq Azmi ini nyata lebih dominan berbanding KRU yang sinonim dengan penggunaan pemain yang sudah berusia. Pada separuh masa pertama, kedudukan terikat 0-0 namun aksi sebenar disajikan pada separuh masa kedua.

Afiq membuka tirai jaringan pada minit ke-48. Selang 10 minit kemudian, Mohammad Hakim Zainal menggandakan jaringan buat Puchong sebelum Afiq menjaringkan gol ketika pasukan sekaligus mengesahkan kejuaraan untuk Puchong Fuerza.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Pengasas dan Penaung Diraja Selangor Youth Community (SAY) berkenan menyaksikan perlawanan berkenaan. Baginda turut berkenan menyampaikan trofi kejohanan serta hadiah wang tunai kepada kedua-dua pasukan.

Selaku juara, Puchong Fuerza membawa pulang trofi dan wang tunai berjumlah RM14,000 manakala KRU Port Klang FC pula membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM8,000.

Kemenangan semalam bermakna Puchong akan beraksi dalam saingan Piala FA musim hadapan dan Puchong juga akan mendapat tajaan pakaian daripada pengeluar pakaian sukan tempatan, Kaki Jersi sepanjang kempen Piala FA berlangsung.

Selangor Champions League yang sudah memasuki tahun ketiga ini nyata mendapat sambutan yang luar biasa daripada penyokong terutamanya penyokong di sekitar Lembah Klang. Beberapa pemain juga menyinar dalam saingan kali ini seperti Luqman Noor Hakim dan Ridhwan Johan yang beraksi untuk NPNG Damansara Damai FC.

SCL diadakan bagi meningkatkan standard bola sepak peringkat amatur di Selangor dan mencungkil bakat-bakat bola sepak di peringkat komuniti.

Terdahulu, perlawanan persahabatan antara Dugong All Stars yang menampilkan selebriti tempatan menentang Selangor Selection diwakili pemain dan bekas pemain pasukan Selangor seperti Elli Aiboy dan Nazab Hizan menyaksikan Selangor Selection menang dengan keputusan 5-0.

Baca Juga: Mengapa Selangor Champions League Wajar Dicontohi

Leave a Reply