Sumber Gambar: hitc.com

Kami berpeluang untuk menemubual bekas pemain Manchester United, Quinton Fortune pada semalam di atas jemputan pihak Stadium Astro.

Untuk anda peminat setia bola sepak, jangan lupa untuk menyaksikan Quinton Fortune dalam rancangan interaktif peminat iaitu Man On The Street di platform YouTube Stadium Astro. Ikuti Stadium Astro di laman media sosial bagi mendapatkan maklumat terkini tentang legenda bola sepak yang akan melawat Kuala Lumpur

Berbalik kepada wawancara bersama Fortune, wakil kami bertanyakan beberapa soalan kepada Quinton yang berkisarkan tentang nasihat dan juga tips untuk pemain muda untuk meningkatkan kualiti permainan sekaligus beraksi di tahap tertinggi.

Inikan Bola: Anda pernah beraksi bersama Manchester United. Apa nasihat anda kepada pemain muda khususnya dari rantau Asia Tenggara untuk beraksi di peringkat tertinggi seperti yang pernah anda lakukan ?

Quinton Fortune: Untuk mencapai tahap tertinggi pertama sekali ianya memerlukan kerja keras dan pengorbanan. Tiada jalan yang sempurna jika anda mahu beraksi bersama United sebagai contoh.

Jika berpeluang, anda harus beraksi di UK kalau nak mencuba nasib di EPL. Sebaik anda berada di sana, anda mempunyai peluang cerah untuk mendapat perhatian daripada kelab dan juga para jurulatih.

Ambil contoh Cristiano Ronaldo. Ketika pertama kali beliau tiba di United, beliau sememangnya menakjubkan. Setiap hari setelah tamat sesi latihan, beliau akan meluangkan masa selama setengah jam atau satu jam untuk menambah baik kelebihan beliau.

Jika anda mempunyai keyakinan dan keinginan yang tinggi, sudah pasti anda mampu untuk mencapai tahap tertinggi sama ada beraksi di EPL atau di liga lain sekitar Eropah kerana tiada apa yang mustahil.

Inikan Bola: Aspek mana yang perlu diperbaiki oleh pasukan di rantau Asia bagi menjadi pasukan pencabar dalam temasya seperti Piala Dunia ?

Quinton Fortune: Anda lihat pasukan-pasukan besar dalam dunia bola sepak. Perancis yang baru-baru ini menang Piala Dunia. Lihat dari segi pemain mereka. Pemain Perancis ada yang beraksi di Itali, Sepanyol dan EPL. Perancis adalah pasukan terbaik ketika ini.

Pemain mereka beraksi di luar negara dan menjadi yang terbaik. Anda boleh bayangkan kalau pemain dari Australia dan pasukan lain mengambil langkah sama. Lebih ramai pemain yang beraksi di Eropah adalah lebih bagus kerana mereka akan memperolehi pengalaman dan dapat beraksi menentang pemain berkelas dunia.

Satu lagi, anda perlu mempunyai struktur yang baik di dalam negara. Pembangunan pemain muda di setiap peringkat umur adalah sangat penting dan jurulatih juga haruslah yang bagus dan mempunyai pengalaman luas dalam bola sepak. Liga tempatan juga haruslah berkelas dunia.

Inikan Bola: Apa yang perlu dipelajari oleh kuasa bola sepak Asia daripada EPL ? Mungkin dari segi pengurusan atau kejurulatihan.

Quinton Fortune: Banyak yang perlu dipelajari. Pertama sekali bola sepak di Eropah adalah pekerjaan sepenuh masa. Ianya memerlukan sikap profesionalisma yang tinggi dan juga barisan kejurulatihan yang baik.

Semua pihak harus bekerjasama dalam hal ini. Persatuan harus memberikan kerjasama bagi memastikan pemain ini boleh diasah dan kemudiannya memilih pemain muda yang berpotensi untuk diketengahkan bagi beraksi di pentas antarabangsa pada usia yang muda.

Inikan Bola: Pada temasya Piala Asia 2019, Asia Tenggara akan diwakili oleh tiga pasukan. Apa nasihat anda untuk pasukan yang tidak berjaya layak agar dapat menyaingi kualiti yang dimiliki oleh tiga pasukan ini?

Quinton Fortune: Ianya memerlukan kerja keras. Anda harus melihat kepada diri sendiri. Adakah kita beraksi dengan baik ? Adakah persediaan yang dilakukan mencukupi ? Adakah kita perlu jurulatih yang lebih baik ? Adakah pemain muda yang kita miliki sudah bersedia untuk beraksi di pentas yang besar ?

Apa yang penting, jika ada sesuatu yang tidak kena, anda harus segera mengenal pasti masalah yang berlaku. Berlatih lebih keras lagi. Cari kaedah yang sesuai dan membuat analisis permainan yang anda telah lalui.

Inikan Bola: Anda pernah terlibat dalam projek pembangunan pemain muda ketika di Cardiff City. Apa tips anda untuk jurulatih muda menjadi jurulatih terbaik ?

Quinton Fortune: Untuk jurulatih muda, anda perlu lihat kepada siapa ketua jurulatih terbaik di dunia saat ini. Ramai yang mengatakan Pep Guardiola. Sekarang anda boleh melayari internet dan YouTube untuk mempelajari beberapa perkara.

Jika anda tidak mampu untuk pergi ke Eropah dan melihat sendiri bagaimana para pemain berlatih, anda boleh keluar dengan idea anda sendiri. Ini kerana Pep juga belajar dari jurulatih lain seperti Cruyff dan Sir Alex.

Jadi untuk jurulatih muda, anda perlu belajar dengan mereka dan kemudiannya cuba untuk menghasilkan kaedah latihan anda sendiri. Ianya tidak akan sempurna namun anda perlu mencari cara untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada.

Baca Juga: Perlukan Pengorbanan Dan Kerja Keras – Florent Malouda

Leave a Reply