Sumber Gambar: Tribunnews

Juara Piala Malaysia 2016, pasukan Kedah membawa masuk penyerang import dari Sepanyol, Fernando Rodriguez bagi mengetuai jentera serangan pasukan dalam saingan Liga Malaysia musim hadapan. Perkara ini diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) di laman media sosial rasmi pasukan pada semalam.

Musim ini, Fernando beraksi untuk kelab Liga 1 Indonesia, Mitra Kukar dimana beliau berjaya menjaringkan 15 gol sepajang saingan Liga 1 yang melabuhkan tirainya minggu lalu. Meskipun mempunyai rekod jaringan yang baik, namun Fernando gagal membantu Mitra Kukar untuk kekal dalam sangan Liga 1 dan mereka tersingkir ke saingan Liga 2 musim hadapan

Sebelum beraksi di Indonesia, Fernando juga pernah beraksi dalam saingan liga Filipina bersama Ceres Negros pada musim 2017. Ketika tampil bersama Ceres Negros, penyerang berusia 31 tahun ini menjaringkan 26 gol dan berjaya membantu Ceres muncul juara Liga Filipina.

Sebelumnya, pengurusan pasukan Kedah tidak menyambung kontrak kelima-lima pemain import yang beraksi bersama pasukan musim ini. Nama seperti Liridon Krasniqi dan Sandro tidak dikekalkan meskipun kedua-dua pemain ini beraksi dengan baik bersama pasukan.

Selain membawa masuk Fernando Rodriguez, Kedah juga menandatangani pemain pertahanan import, Renan Alves dan ketua pasukan skuad kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Razak. Sama seperti Fernando, Renan juga beraksi dalam saingan Liga 1 musim ini bersama Borneo FC manakala Zaquan pula beraksi bersama pasukan ibu kota.

Apa yang pasti, besar harapan peminat yang diletakkan di bahu Fernando kerana barisan serangan Kedah sedikit bermasalah musim lalu. Penyerang import yang dibawa masuk, Pablo Pallares dan Paulo Rangel dilihat gagal untuk menampilkan aksi terbaik.

Dengan kemasukan Fernando Rodriguez dan Renan Alves, kini tinggal satu lagi slot pemain import yang belum diisi dalam pasukan Kedah. Khabar angin di media sosial mengatakan slot tersebut akan diisi oleh pemain dari Nigeria dan beraksi di bahagian serangan.

Bulan lalu, Kedah membawa masuk pemain pertahanan dari Singapura, Shakir Hamzah dan pemain dari Iraq, Anmar Almubaraki.

Baca Juga: Tan Cheng Hoe Sasar Piala Asia

Leave a Reply