Sumber Gambar: Goal.com

Penyerang skuad bawah 19 tahun negara, Zafuan Azeman mendapat peluang untuk menjalani ujian bersama kelab yang beraksi dalam saingan Serie B, Venezia FC.

Menurut laporan Goal.com, Zafuan akan menjalani ujian selama tiga minggu bersama kelab yang pernah diwakili oleh beberapa pemain terkemuka seperti Alvaro Recoba, Marco Delvecchio, Salvatore Sirigu, Massimo Taibi dan Christian Vieri.

Sebelum ini, Zafuan pernah menjalani ujian bersama kelab Korea Selatan, Yangju Citizen FC selama dua minggu. Namun, percubaan Zafuan bersama kelab yang beraksi dalam saingan K League 3 ini tidak menjadi dan beliau kemudiannya kembali ke tanah air.

Menurut pemain berusia 19 tahun ini, nasihat daripada Liridon Krasniqi dan Sandro Da Silva membuatkan beliau menanam hasrat untuk beraksi di luar negara.

“Ketika saya berlatih bersama Kedah, saya menjadi rapat bersama Liridon dan Sandro. Mereka menasihati saya untuk tidak mengikuti mentaliti pemain tempatan yang lain. Jika saya mahu mencapai tahap tertinggi, saya harus beraksi di luar negara. Kata-kata mereka melekat di fikiran saya sehingga sekarang.

“Semua pemain bola sepak mahukan bayaran yang tinggi untuk mempunyai kehidupan mewah. Tapi jika saya mempunyai rehat yang cukup, tempat tinggal dan sedikit wang untuk dibelanjakan, itu sudah cukup bagus bagi saya pada permulaannya. Apabila saya mula mempamerkan aksi terbaik, saya pasti bayaran lumayan akan datang kepada saya.

“Saya mahu keluar dari Malaysia kerana saya masih lagi muda dan ada peluang yang bagus untuk saya menjadi pemain yang lebih baik berbanding saya kekal beraksi di dalam negara. Sama seperti pemain lain apabila diberikan peluang keemasan, saya mahu memberikan yang terbaik.

“Ketika saya di sini, saya mahu memberikan 100% tanpa memikirkan sama ada mereka akan memberikan kontrak kepada saya ataupun tidak. Kita akan lihat di kemudian hari. Sudah pasti ada rancangan B dan C. Namun perkara tersebut tidak terlintas di fikiran saya,” kata Zafuan kepada Goal.com.

Venezia ketika ini dibimbing oleh legenda Itali, Walter Zenga dan mereka menduduki tangga ke-11 dalam saingan Serie B setakat ini.

Baca Juga: Zafuan Azeman Akan Terbang Ke Korea!

Leave a Reply