Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) menghantar rayuan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk mendaftarkan pemain sayap, Mohamadou Sumareh sebagai pemain tempatan bagi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Pengurus pasukan Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, surat rayuan itu dihantar oleh pihaknya kepada MFL minggu lalu.

“Oleh itu, kami harap MFL mempertimbangkan Sumareh yang juga pemain naturalisasi didaftarkan sebagai pemain tempatan.

“Sudah pasti peminat bola sepak khususnya Pahang mahu melihat Sumareh beraksi sebagai pemain tempatan selepas membantu skuad kebangsaan muncul naib juara Piala AFF.

“Sememangnya kami mengharapkan keputusan positif daripada MFL terutama bagi urusan pendaftaran pemain import baharu dalam usaha memperkasakan skuad Tok Gajah,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Pada Oktober lalu, MFL mengesahkan Pahang yang juga juara Piala FA boleh mendaftarkan Mohamadou Sumareh sebagai pemain tempatan dalam saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Akan tetapi, pemain kelahiran Gambia itu hanya boleh didaftarkan bermula Mac 2019 sekaligus menyaksikan dia tetap mengisi kuota pemain import pada jendela perpindahan pertama sebelum bertukar status kepada pemain tempatan pada jendela perpindahan kedua.

Semalam, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berminat untuk mendaftarkan pemain tengah Terengganu FC, Lee Andrew Tuck sebagai pemain tempatan dan perkara ini nyata mendapat sambutan yang baik daripada peminat bola sepak tanah air.

Ini bermakna jika MFL memberikan kebenaran untuk Lee Tuck, maka tidak mustahil pemain berusia 30 tahun ini menyarung jersi skuad kebangsaan dalam masa terdekat.

Lee Tuck sendiri menampilkan aksi yang memberangsangkan dalam saingan Liga Malaysia musim ini dimana beliau berjaya membantu pasukan Terengganu FC mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2018.

Gandingan Lee Tuck dan Mohamadou Sumareh dilihat mampu untuk meningkatkan lagi kualiti serta tahap permainan pasukan negara yang sememangnya berada dalam keadaan terbaik ketika ini. Pengalaman serta kebolehan yang dimiliki oleh Tuck boleh dimanfaatkan bagi memastikan pasukan negara mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

Baca Juga: Lee Tuck Menyarung Jersi Harimau Malaya?

Leave a Reply