Sumber Gambar: Perlis FA

Pasukan Perlis nampaknya serius dalam usaha mereka untuk mendapatkan khidmat pemain sayap pasukan kebangsaan, Akhyar Rashid bagi memantapkan pasukan untuk saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Semalam, Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) menghantar satu rombongan dengan mengunjungi rumah pemain muda ini sebagai tanda lamaran untuk Akhyar. Perkara ini diumumkan oleh PFA di laman media sosial rasmi pasukan.

PRESIDEN, BARISAN EXCO DAN BARISAN KEJURULATIHAN PFA MEMBUAT LAWATAN KE RUMAH AKHYAR RASHID SEBAGAI TANDA LAMARAN KE…

Posted by NorthernLions Perlis on Saturday, 22 December 2018

Ketika ini, suasana bola sepak negara sedang kecoh kerana isu perpindahan yang membabitkan Akhyar. Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudahpun memberikan kata putus mengenai perkara ini namun Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dilihat tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat.

Setelah menjadi ejen bebas, pasukan pertama yang membuka pintu rundingan bersama Akhyar ialah juara Liga Super musim ini, Johor Darul Ta’zim. Namun, Perlis nampaknya serius mahukan khidmat Akhyar dengan mengunjungi rumah pemain ini.

Pasukan yang diberi nafas baru ini sememangnya sedang rancak mempersiapkan pasukan bagi menghadapi saingan musim hadapan. Juara Piala Malaysia edisi 2006 lalu ini membawa masuk beberapa nama besar yang pernah beraksi bersama pasukan kebangsaan.

Antara nama-nama besar yang dibawa masuk adalah bekas penyerang Selangor, Safee Sali, bekas penyerang Kedah, Khyrl Muhymeen, bekas pemain Melaka United, Azmi Muslim dan bekas ketua pasukan Kelantan, Badhri Radzi.

Selain membawa masuk beberapa pemain baru, Perlis juga dikatakan telah berjaya melangsaikan tunggakan gaji para pemain dan pegawai pasukan untuk saingan musim ini.

Ketika ini masih belum jelas tentang pasukan mana yang akan menjadi destinasi Akhyar Rashid bagi menghadapi saingan musim hadapan. Semua pasukan dilihat berpeluang untuk mendapatkan khidmat Akhyar kerana beliau belum menandatangani sebarang perjanjian bersama mana-mana pasukan.

Baca Juga: Jangan Salahkan Akhyar – B.Sathianathan

Leave a Reply