Sumber Gambar: Sportflex

Kehadiran penyerang skuad bawah 19 tahun negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak nyata memberi harapan besar buat Fagiano Okayama dalam usaha mereka untuk layak beraksi dalam saingan J1 League pada masa akan datang.

Pengurus besar pasukan itu, Tokuhiko Suzuki menjelaskan pihaknya optimis dengan kemampuan yang dimiliki Hadi Fayyadh untuk memberikan nafas baru terhadap jentera serangan pasukan tersebut.

Tokuhiko turut mengakui pihaknya tidak sabar untuk menyaksikan aksi Hadi di atas padang dan berharap anak muda ini sentiasa menampilkan persembahan terbaik dan bekerja keras ketika sesi latihan.

“Kami akan memberi peluang sama rata kepada semua pemain dan sekiranya Hadi menunjukkan prestasi baik, kami sedia menurunkannya dalam kesebelasan utama bagi setiap perlawanan.

“Kami juga mengharapkan Hadi dapat membantu kelab ini layak ke J1. Sebagai pemain muda, kami akan menyediakan sesi latihan khas buat Hadi serta pemain muda lain bagi meningkatkan kemahiran mereka,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Hadi mencipta sejarah apabila menjadi pemain Malaysia pertama yang beraksid alam kancah profesional Liga Jepun. Sudah pasti harapan besar diletakkan di bahu beliau.

Sebelum ini, dua pemain iaitu Nazirul Naim dan Wan Zack Haikal juga pernah beraksi di negara Matahari Terbit ini namun kelab yang diwakili mereka, Ryukyu FC beraksi di peringkat liga semi profesional.

Pada masa yang sama, Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada menyatakan pihaknya bersedia untuk membantu lebih ramai pemain dari Malaysia untuk mendapatkan tempat beraksi dalam kancah Liga terbaik di rantau Asia itu.

“Saya melihat bakat dipamerkan Hadi Fayyadh ketika Kejohanan Bolasepak Piala Sanix yang berlangsung di Fukouka, Jepun, Mac lalu. Ketika itu, Yakult Malaysia menaja pasukan Bawah 19 tahun negara (B-19) menyertai pertandingan berkenaan sebagai persediaan sebelum Kejohanan AFF dan Kejohanan B-19 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Saya harapkan kejayaan Hadi ini akan membuka ruang bagi lebih ramai lagi pemain muda Malaysia dan bagi pihak Yakult, kami sedia membantu mana-mana pemain muda yang ingin mencuba nasib di Jepun,” kata Hamada.

Baca Juga: Hadi Perlu Lebih Kuat – Bojan Hodak

Leave a Reply