Sumber Gambar: Perlis Northern Lions

Bekas ketua pasukan Kelantan, Badhri Radzi menegaskan sikap membisu yang diambil oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengenai isu tunggakan bagi musim 2018 bagaikan satu bentuk penderaan kepada beliau.

Menurut pemain yang mesra disapa Piya ini, meskipun berulang kali pihaknya membangkitkan mengenai isu tunggakan gaji yang belum dibayar, namun KAFA terus membisu dan tidak mengajak Piya untuk berbincang bagi mencari jalan penyelesaian.

“Saya akui sedikit tertekan setiap kali memikirkan masalah ini (gaji). Ini kerana bola sepak merupakan kerjaya utama saya untuk menyara keluarga.

“Saya ada tanggungjawab yang perlu dijalankan. Jadi Kafa pun samalah, jalankanlah tanggungjawab dengan melunaskan bayaran tunggakan itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Piya, beliau telah membawa isu tunggakan gaji tersebut kepada pengetahuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (PFAM) dan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) bagi tindakan lanjut sekaligus menamatkan penderaan yang beliau hadapi.

Selain Piya, dikhabarkan ada beberapa lagi bekas pemain dan juga pegawai pasukan yang belum lagi menerima baki tunggakan gaji selama berkhidmat bersama pasukan dari Pantai Timur itu.

Rakan sepasukan Piya di Perlis, Amiridzwan Taj Tajuddin serta dua lagi individu iaitu bekas pengarah tenikal Alfredo Gonzalez (RM225,940) dan Dramane Traore (RM332,000) masih belum mendapat baki tunggakan gaji.

Setelah berkhidmat bersama The Red Warriors hampir 13 tahun, khidmat Piya dipinggirkan pada pertengahan musim lalu apabila ketua jurulatih ketika itu, Fajr Ibrahim tidak mahu menurunkan pemain yang sudah berusia dalam kesebelasan utama pasukan.

Pengendali dari Syria ini lebih gemar menggunakan tenaga muda bagi membawa cabaran pasukan. Bukan sahaja khidkat Piya yang diketepikan, malah penjaga gol senior, Khairul Fahmi Che Mat dan penyerang, Nor Farhan Muhammad juga menjadi mangsa.

Sehingga kini, KAFA masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai isu tunggakan gaji Piya sama ada mereka mahu melunaskan hutang tersebut atau sebaliknya. Musim 2019 akan bermula lebih kurang sebulan daripada sekarang namun mereka seolah-olah tidak mengambil peduli mengenai permasalahan ini.

Baca Juga: Piya Masih Tunggu Tunggakan Gaji Musim 2018

Leave a Reply