Sumber Gambar: Sarawak FA

Pasukan dari Borneo, Sarawak mahu menggunakan tenaga import dari Indonesia bagi memperkukuhkan pasukan menjelang saingan Liga Perdana musim hadapan.

Menurut laporan Utusan Borneo, Penasihat Pasukan, Awang Mahyan Awang Mohamed berkata ada tiga pemain dari Persipon Pontianak akan tiba hari ini dan terus menjalani ujian bersama pasukan pada sebelah petang.

Ketika ini, seorang lagi pemain dari kelab sama iaitu Rian Nugraha Yukandi yang berusia 20 tahun telah mula menyertai sesi latihan bersama Sarawak. Rian telah menjalani latihan bersama juara Liga Perdana 2013 itu sejak 31 Disember lalu.

Pengurus pasukan Sarawak, Hamzah Brahim berkata pihaknya kini dalam proses meneliti prestasi semasa pemain itu.

“Kita akan lihat dulu prestasi beliau (Rian) termasuk pemain-pemain lain yang akan turut serta dalam sesi ujian sebelum mengambil sebarang keputusan dalam masa terdekat.

“Kita akan berbincang dengan jurulatih untuk menetapkan pemain mana yang akan dipilih,” kata Hamzah. Pasukan Sarawak juga akan mengadakan perlawanan pemanas badan di semenajung apabila pemain import sudah dipilih.

Pemain import dari Indonesia bukanlah asing dalam saingan Liga Malaysia. Pada saingan musim 2018, empat pasukan iaitu Kedah, Kuala Lumpur, Kelantan dan Selangor menggunakan pemain import dari negara seberang bagi mengisi kuota pemain Asean.

Kedah mengambil khidmat Andik Vermansah sementara Kelantan menandatangani Ferdinan Sinaga. Dua pasukan Lembah Klang iaitu Kuala Lumpur dan Selangor masing-masing mengambil khidmat Achmad Jufriyanto, Evan Dimas Darmono dan Ilham Udin Armayn.

Menjelang saingan Liga Perdana musim ini, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) mengambil langkah berjimat-cermat dimana mereka berhati-hati dalam memilih pemain dan tidak mahu menawarkan gaji yang terlalu tinggi.

Ini kerana pasukan itu terkait dengan isu tunggakan gaji pemain sehingga permasalahan itu merencatkan perjalanan pasukan dalam saingan Liga dimana Ngap Sayot menamatkan saingan Liga Perdana di tangga ke-8.

Bulan lalu, FAS telah mengeluarkan senarai 25 pemain yang akan mewakili pasukan tersebut dalam saingan Liga Perdana. Senarai tersebut dijangka bertambah dengan ketibaan beberapa pemain import.


Sumber Gambar: Sarawak FA

Baca Juga: Perlis Patuhi Segala Kriteria – MFL

Leave a Reply