Sumber Gambar: Asiana.my

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe berada dalam radar Perlis Northern Lions apabila pasukan serba baru itu berminat untuk menjadikan Cheng Hoe sebagai Pengarah Bola Sepak kelab tersebut.

Perlis membuat pengumuman di media sosial rasmi pasukan dimana mereka sedang mencari Pengarah Bola Sepak yang baru bagi membantu pasukan yang diberi nafas baru itu bagi menghadapi saingan Liga Perdana musim 2019.

“Pengurusan PFA sedang mencari Pengarah Bola Sepak yang baharu bagi membantu pasukan Perlis menghadapi Liga Premier 2019.

“Beberapa nama telah disenarai pendek dan Tan Cheng Hoe juga berada dalam pemerhatian PFA kerana beliau kini adalah ejen bebas ekoran kontrak beliau yang masih belum disambung oleh FAM. Demimu Kuning Biruku,” menurut kenyataan yang dikeluarkan PNL.

Kontrak Cheng Hoe selaku pengendali pasukan senior negara tamat pada 1 Januari lalu dan FAM dalam kenyataan terbaru mereka akan membuat pengumuman sama ada mahu menyambung kontrak beliau atau sebaliknya setelah mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Selasa ini.

Tan Cheng Hoe menjadi sorotan apabila beliau berjaya membimbing pasukan kebangsaan mara ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018. Bekas pengendali Kedah ini dilantik sebagai sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan pada Disember 2017 dan sasaran yang diletakkan oleh FAM kepada Cheng Hoe ialah membawa Malaysia mara ke perlawanan akhir.

Bukan saja Cheng Hoe berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan, beliau juga berjaya menaikkan kualiti dan mutu permainan pasukan negara dimana sebelumnya Malaysia menjadi pasukan belasahan ketika dibimbing oleh Nelo Vingada kepada pasukan yang kembali digeruni di rantau Asia Tenggara.

Bagi pasukan Perlis Northern Lions pula, mereka dilihat mahu melakukan perubahan tidak hanya dari segi pemain dan barisan kejurulatihan namun dari segi perancangan jangka masa panjang pasukan.

Selain Cheng Hoe, PFA sebelum ini juga pernah berhasrat untuk mendapatkan individu berprofil tinggi dalam Liga Malaysia dimana mereka mahu menandatangani Akhyar Rashid. Akan tetapi, PFA terpaksa melupakan niat mereka kerana kekangan kewangan yang dihadapi.

Baca Juga: Perlis Mahu Jadi Pasukan Pencabar

Leave a Reply