Sumber Gambar: Outside of the Boot

Bekas pemain pasukan akademi Swansea City, Matt Holland sah dilantik sebagai Pengarah Bola Sepak Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) yang baharu.

Pelantikan Matt Holland sebagai Pengarah bola sepak pasukan Perlis diumumkan oleh PFA menerusi laman media sosial rasmi pasukan hari ini.

Menurut Perlis Northern Lions, Holland mempunyai pengalaman luas dalam bola sepak di seluruh dunia dengan kerjaya yang cemerlang di Eropah, Amerika Syarikat, India, Thailand, Australia dan yang terbaru Malaysia.

Holland pernah memegang jawatan sebagai penolong jurulatih pasukan Thai League 1, Port FC pada tahun 2015. Seterusnya, Holland kemudiannya menyertai kelab India, Bengaluru FC sebagai penolong jurulatih kepada Ashley Westwood. Pada musim 2015/2016, Bengaluru berjaya muncul juara I-League.

Setelah membantu Bengaluru muncul juara I-League, Holland kembali ke Thailand dengan menyertai Buriram United dimana beliau dilantik sebagai Pengurus Program Pembangunan Bola Sepak dan juga Pengarah Teknikal pasukan.

Menurut Perlis lagi, Holland juga mempunyai lesen kejurulatihan ‘AFC Pro License’ dan mereka berharap dengan pengalaman yang dimiliki oleh Holland dapat membantu pasukan Perlis Northern Lions memperoleh keputusan yang baik dalam kempen Liga Malaysia 2019.

Sebelum ini, Perlis mahu mendapatkan khidmat Tan Cheng Hoe untuk mengisi jawatan Pengarah Bola Sepak pasukan itu. Akan tetapi, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil langkah untuk melanjutkan kontrak Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih dan Perlis terpaksa melupakan hasrat mereka.

Lengkap sudah transformasi pasukan Perlis dimana mereka membuat perubahan daripada segi pengurusan, barisan kejurulatihan dan juga barisan pemain. Apa yang tinggal ialah aksi pemain di atas padang dan juga kemampuan PFA untuk menjalankan tanggungjawab dengan menjaga kebajikan pemain iaitu membayar gaji mereka.

Baca Juga: Perlis Mahu Jadi Pasukan Pencabar

Leave a Reply