Pasukan yang akan beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim ini sedang giat melakukan persiapan bagi memantapkan lagi pasukan masing-masing. Ketika sedang rancak mempersiapkan pasukan, penulis tertarik dengan barisan serangan pasukan Kedah.

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) melakukan perubahan besar-besaran dari segi pemain import dimana mereka mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak kelima-lima pemain import yang beraksi bersama pasukan musim lalu.

Bagi menghadapi musim 2019, di bahagian serangan, KFA membawa masuk dua penyerang yang beraksi di Liga 1 Indonesia musim lalu iaitu Fernando Rodriguez yang beraksi bersama Mitra Kukar dan Jonathan Bauman yang beraksi bersama kelab Asia dengan pengikut paling banyak di media sosial, Persib Bandung.

Musim lalu, barisan serangan Kedah diisi oleh pemain import yang gagal untuk menampilkan aksi konsisten. Pablo Pallares gagal untuk mempamerkan ketajaman di bahagian gol manakala penyerang yang dibawa pada jendela perpindahan kedua, Paulo Rangel pula mempunyai masalah disiplin.

Ketumpulan jentera serangan Kedah sedikit-sebanyak menjadi punca pemenang Piala FA 2017 ini menamatkan saingan Liga Super di tangga ke-6.

Sebagai rekod, Fernando berjaya menjaringkan 15 gol dalam saingan Liga 1 manakala Bauman menjaringkan 12 gol. Catatan kedua penyerang ini nyata jauh lebih baik berbanding Pablo Pallares dan Paulo Rangel.

Jika Fernando dan Bauman berjaya membawa prestasi cemerlang mereka ke saingan Liga Malaysia musim ini, tidak mustahil pasukan Kedah kembali menjadi pasukan yang mencabar kejuaraan. Berbeza dengan musim lalu dimana mereka hanya bersaing di kelompok pertengahan Liga.

Meskipun kehilangan pemain muda, Akhyar Rashid yang menyertai Johor Darul Ta’zim , penulis berpendapat Kedah tidak akan berdepan sebarang masalah kerana mempunyai penyerang seperti Fernando dan Bauman.

Selain itu, mereka turut mempunyai pemain sayap muda berbakat seperti bintang Sukma 2018 dan Piala Presiden, Mohamad Fayadh, Hidhir Idris, Zhafir Yusof dan Fazrul Danel yang dilihat sudah sedia untuk beraksi di pentas yang lebih besar.

Baca Juga: 4 Pemain Kedah Yang Berpotensi Menjadi “Akhyar Baru”

Leave a Reply