Sumber Gambar: Arenametro.com

Bekas pemain pasukan Kelantan dan Terengganu FC, Do Dong-hyun sah menyertai naib juara K League 1 musim 2018, Gyeongnam FC. Perkara ini diumumkan oleh pihak kelab menerusi laman media sosial rasmi pasukan.

Dong sebelumnya mencipta nama bersama pasukan UiTM FC dalam saingan Liga Perdana musim 2017. Setelah tampil cemerlang bersama UiTM, bekas pemain skuad bawah 20 tahun Korea Selatan ini menyertai pasukan Kelantan bagi menghadapi Liga Super musim 2018.

Namun, pengembaraan Dong bersama The Red Warriors tidak berjalan seperti yang diharapkan. Ketua jurulatih Kelantan ketika itu, Fajr Ibrahim menyisihkan Dong kerana pemain berusia 25 tahun ini tiada dalam perancangan beliau. Fajr lebih tertarik untuk menggunakan pemain muda.

Pada pertengahan musim 2018, beberapa jam sebelum jendela perpindahan kedua Liga Malaysia ditutup, Dong kemudiannya berhijrah dengan menyertai pasukan Terengganu FC.

Ketika beraksi bersama Terengganu, Dong hanya tampil sebanyak 9 perlawanan dan beliau sering memanaskan bangku simpanan. Kecemerlangan Faiz Nasir, Malik Mat Ariff fan J.Partiban di posisi sayap nyata menenggelamkan Dong.

Bagi saingan musim 2019, Gyeongnam FC akan beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL). Mereka diundi dalam satu kumpulan bersama juara Liga Super 2018, Johor Darul Ta’zim. Gyeongnam berjaya mendapat slot ke Asia setelah mereka muncul sebagai naib juara K League 1 di belakang Jeonbuk Hyundai. Pasukan bimbingan Kim Jong-boo ini mengumpul 65 mata.

Mengikut jadual, Gyeongnam FC akan bertemu Johor Darul Ta’zim pada 12 Mei, lebih tepatnya pada perlawanan kedua peringkat kumpulan di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos.

Pengalaman yang dimiliki oleh Dong-hyun ketika beraksi bersama Kelantan dan juga Terengganu FC dilihat mampu untuk membantu Gyeongnam dalam perlawanan menentang JDT.

Baca Juga: Liridon Krasniqi Sertai Pahang ?

Leave a Reply