Sumber Gambar: FAM

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil langkah berhati-hati dalam memilih pemain naturalisasi yang nantinya akan mewakili pasukan kebangsaan.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata badan induk itu tidak mahu pasport Malaysia yang diberikan kepada pemain naturalisasi sekadar dijadikan tiket untuk mereka mengisi kuota pemain Asia Tenggara (ASEAN) di liga luar.

“Jika dilihat kebanyakan liga luar seperti Jepun dan Thailand memperkenalkan kuota import ASEAN, jadi kita tidak mahu mereka menggunakan status sebagai pemain Malaysia untuk memenuhi slot terbabit.

“Namun, apabila kita memanggil mereka untuk menyertai skuad kebangsaan, mereka tidak hadir atau memberi alasan cedera. Jadi, keikhlasan untuk beraksi bersama skuad negara dan memberikan impak positif adalah sangat penting.

“Malah, suasana dalam skuad kebangsaan sedang berada dalam keadaan yang positif, jadi kita tidak mahu mengganggu senario itu,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Setakat ini, Malaysia memiliki seorang pemain naturalisasi iaitu pemain sayap Pahang, Mohamadou Sumareh dimana pemain ini sudah beraksi bersama pasukan negara dalam kejohanan Piala AFF Suzuki 2018. Sumareh berjaya membantu Malaysia mara ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018.

Setelah menyaksikan Sumareh beraksi dengan baik bersama pasukan negara, FAM berhasrat untuk memilih beberapa pemain naturalisasi bagi memantapkan lagi serta meningkatkan kualiti dan mutu permainan pasukan negara.

Antara pemain yang dikhabarkan berada dalam senarai pendek untuk dijadikan pemain naturalisasi yang seterusnya ialah penyerang Kuala Lumpur, Guilherme De Paula dan bekas pemain tengah Kedah, Liridon Krasniqi.

Berdasarkan syarat Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), seseorang pemain asing layak bergelar pemain naturalisasi apabila mereka sudah tinggal sekurang-kurangnya lima tahun di negara tempat mereka beraksi.

Guilherme dan Liridon sudah beraksi di Malaysia sejak tahun 2015 dan kedua-dua pemain dipilih oleh FAM kerana prestasi cemerlang yang ditunjukkan. Guilherme pernah menjadi penjaring terbanyak Liga Perdana musim 2017 manakala Liridon pernah membantu pasukan Kedah memenangi beberapa kejuaraan antaranya Piala Malaysia 2016 dan Piala FA 2017.

Baca Juga: Tan Cheng Hoe Kekal Kemudi Skuad Kebangsaan

Leave a Reply