Sumber Gambar: SB

Bekas ketua jurulatih pasukan Kelantan, Fajr Ibrahim kembali ke dunia kejurulatihan apabila beliau mengendalikan pasukan kebangsaan Syria bagi baki perlawanan peringkat kumpulan temasya Piala Asia 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Setelah tewas kepada pasukan Jordan dengan keputusan 2-0 pada perlawanan kedua peringkat kumpulan B semalam, Persatuan Bola Sepak Syria mengambil keputusan untuk memecat ketua jurulatih pasukan, Bernd Stange.

“Persekutuan Bolasepak Syria memutuskan untuk memecat ketua jurulatih, Bernd Stange” menurut kenyataan dalam laman media sosial Facebook persatuan itu. Mereka turut mengumumkan Fajr Ibrahim sebagai pengendali pasukan yang baru.

Pada perlawanan semalam, jaringan Musa Al Taamari pada separuh masa pertama dan Tareq Khattab pada separuh masa kedua sudah cukup untuk memberikan kemenangan kedua untuk Jordan dan mengesahkan kemaraan pasukan itu ke peringkat kalah mati.

Sebelumnya, pasukan bimbingan jurulatih dari Belgium, Vital Borkelmans ini berjaya mencipta kejuta apabila menundukkan juara bertahan, Australia pada perlawanan pertama dengan keputusan 1-0 hasil jaringan tunggal Anas Bani Yaseen.

Bernd Stange mengikut jejak ketua jurulatih Thailand, Milovan Rajevac selepas pengendali dari Serbia itu dipecat apabila skuad Gajah Perang dibelasah oleh pasukan India dengan keputusan 4-1 pada perlawanan pertama. Thailand bagaimanapun berjaya bangkit apabila mereka menewaskan pasukan Bahrain 1-0 pada perlawanan kedua semalam.

Melihat kepada kedudukan semasa, Syria dilihat masih mempunyai peluang untuk mara ke peringkat kalah mati dimana Australia harus mencatat keputusan seri ketika menentang pasukan Palestine malam ini.

Pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan, Syria perlu menewaskan Australia sambil mengharapkan Jordan menewaskan pasukan Palestine.

Fajr Ibrahim sebelum ini mendapat sorotan dalam saingan Liga Malaysia dimana pendekatan beliau yang menggunakan tenaga muda sehingga menyingkirkan pemain senior seperti Badhri Radzi dan Khairul Fahmi Che Mat ketika mengendalikan pasukan Kelantan.

Selain itu, Fajr mendapat sorotan menerusi tindakan gila beliau dengan meletakkan jawatan dan menghantar surat peletakan jawatan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dengan menggunakan surat tulisan tangan.

Baca Juga: Milovan Rajevac Dipecat Oleh FAT

Leave a Reply