Sumber Gambar: Fox Sport Asia

Pengurusan pasukan juara Liga Perdana 2018, Felda United telah melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan bagi bulan September 2018. Perkara ini disahkan oleh Presiden Felda United, Anuar Malek.

Menurut Anuar, gaji bagi bulan September telah dibayar kepada pemain dan pegawai pada kelmarin dan beliau turut menegaskan pihaknya tidak akan berdiam diri mengenai isu tunggakan gaji yang sedang dihadapi oleh pasukan ketika ini.

“Pihak kami tidak pernah berdiam diri dalam isu tunggakan gaji ini, sebaliknya sudah mengambil langkah bagi menyelesaikannya.

“Akhirnya kita berjaya mendapatkan dana untuk membayar gaji bulan September dahulu dan baki dua bulan lagi untuk bulan Oktober dan November akan menyusul kemudian,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Jelas Anuar, pembayaran tunggakan sebulan gaji yang dilakukan membuktikan pihak pengurusan Felda United serius dalam menyelesaikan tunggakan gaji yang dikhabarkan berjumlah tiga bulan. Masalah tunggakan gaji timbul kerana kekangan kewangan yang tidak diduga oleh pasukan itu.

Tambah Anuar yang mengambil alih tugas sebagai presiden bagi menggantikan Datuk Ab Ghani Mohd Ali, beliau akan terus memperjuangkan nasib pemain dan pegawai pasukan bagi memastikan mereka mendapatkan hak yang sepatutnya.

“Kita sudah membuat perancangan agar masalah kewangan tidak berlaku lagi pada masa depan. Jadi, kami mengharapkan isu kewangan ini tidak akan mengganggu fokus pemain serta pegawai bagi menghadapi musim 2019.

“Setiap masalah yang berlaku akan diselesaikan dengan cara yang terbaik,” tambahnya.

Felda United berjaya muncul juara saingan Liga Perdana musim lalu. Namun, mereka kehilangan beberapa pemain utama seperti Shukor Adan dan Syamim Yahyah serta ketua jurulatih, B.Sathianathan bagi menghadapi saingan Liga Super musim ini.

Dipercayai masalah kewangan menyebabkan pemain utama membuat keputusan untuk berhijrah dengan menyertai pasukan lain.

Baca Juga: Felda United Juga Berdepan Isu Tunggakan Gaji

Leave a Reply