Sumber Gambar: PFAM

Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menegaskan pasukan Liga Malaysia bebas untuk meletakkan tanda harga ataupun nilai klausa pelepasan dalam kontrak pemain mereka.

Menurut Presiden PFAM, Rezal Zambery Yahya, penetapan klausa pelepasan dalam kontrak pemain adalah satu langkah yang positif dalam usaha pasukan Liga Malaysia melindungi pemain mereka daripada cuba “dicuri” oleh pasukan lain.

Rezal berkata, perkembangan ini menunjukkan pasukan sudah semakin faham mengenai pentingnya menjaga aset yang dimiliki oleh mereka selain cuba membuktikan bahawa pasukan sedang berada dalam landasan yang betul untuk bergerak ke hadapan.

“Sebelum ini kita cuma kerap dengar mengenai penebusan kontrak saja, jadi sekarang ini sudah ada klausa pelepasan dan ia satu perkara yang bagus.

“Malah, kita tengok ada pasukan yang tetapkan klausa hingga RM6 juta dan RM12 juta, bermakna pasukan jelas mengenai kepentingan aset mereka. Secara tak langsung ia juga akan menaikkan semangat pemain kerana mereka tahu nilai mereka.

“Pemain lain juga mungkin lebih bersemangat bagi memastikan pasukan menetapkan harga mereka. Jadi, bagi saya benda itu (nilai klausa pelepasan) tidak menjadi satu masalah,” kata Rezal menurut laporan Berita Harian.

Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim telah meletakkan klausa pelepadan sebesar RM12 Juta bagi mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmat Akhyar Rashid manakala pasukan Selangor meletakkan nilai RM6 Juta bagi pemain muda mereka, Syahmi Safari.

Sebelum ini, perpindahan Akhyar Rashid menjadi sebutan apabila bekas majikannya, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) tidak berpuas hati dengan nilai pampasan yang ditetapkan oleh badan induk bola sepak negara, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi pemain skuad bawah 23 tahun negara itu.

Tambah Rezal, penetapan klausa pelepasan merupakan langkah terbaik untuk mengelak daripada timbul sebarang masalah jika mana-mana pasukan mahu memancing pemain.

“Benda ini sekarang jelas, maksudnya mana-mana pasukan ingin mendapatkan seorang pemain, mereka perlu mengeluarkan perbelanjaan atau membayar jumlah yang sudah ada dalam kontrak. Jadi, mungkin tiada lagi isu perlu dibangkitkan selepas ini,” tambahnya.

Baca Juga: Syahmi Sedia Tampilkan Prestasi “RM6 Juta”

Leave a Reply