Sumber Gambar: Malaymail.com

Pasukan Perak bakal menggunakan empat pemain import bagi menghadapi saingan Liga Malaysia dan saingan peringkat kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini.

Perkara ini diumumkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dimana pihaknya sudah berbincang dengan ketua jurulatih, Mehmet Durakovic dan bekas pengendali Selangor ini gembira dengan skuad sedia ada.

“Setakat ini, tiada maklumat import kelima, mengikut perbincangan (dengan jurulatih, Mehmet Durakovic), kita gembira dengan skuad yang ada.

“Jadi, untuk itu (pemain import) kita dah cukup dan Perak juga ada pemain muda yang boleh diketengahkan untuk tempoh lebih lama,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Sebelum ini, PAFA menggugurkan dua pemain import iaitu pemain tengah dari Filipina, Misagh Bahadoran dan pemain pertahanan dari Lubnan, Jad Noureddine dimana kedua-dua pemain ini tidak menunjukkan persembahan terbaik dalam saingan musim lalu.

Bahadoran tidak lagi tampil bersama Perak sejak pertengahan musim manakala Noureddine yang dibawa masuk bagi menggantikan Robert Cornthwaite juga gagal untuk beraksi dengan baik.

Tambah Datuk Seri Ahmad Faizal, pihaknya akan berjumpa dengan penyerang pasukan kebangsaan, Shahrel Fikri Fauzi bagi membincangkan masa depan pemain ini khususnya bersama juara Piala Malaysia 2018 itu.

“Belum jumpa dia (Shahrel Fikri)….bukan semata-mata untuk menguatkan pasukan Perak, tetapi untuk berbincang bagaimana saya, PAFA atau kerajaan negeri boleh membantu kariernya.

“Kita perlu memikirkan masa depan pemain, saya suka jumpa pemain muda, mereka mesti ada perancangan. Tugas kami ialah perlu dekati pemain supaya mereka dapat merencana karier sehinggalah selepas bersara.

“Jangan fikir apabila jumpa mereka semata-mata kita tarik pemain untuk menguatkan pasukan, tetapi pastikan mereka ada karier. Jangan habis kontrak, kita tinggalkan mereka begitu sahaja, itu tidak betul,” tambahnya.

Kuota pemain import pasukan Perak diisi oleh tiga pemain dari Brazil iaitu Gilmar Da Silva, Wander Luiz dan Leandro Dos Santos. Satu lagi slot diisi oleh pemain pertahanan dari Australia, Zac Anderson yang musim lalu beraksi bersama PKNS FC.

Empat pemain import ini bakal menjadi sandaran dimana Perak juga akan beraksi di pentas kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019.

Baca Juga: Shahrel Fikri Dan Hafiz Ramdan Sertai Perak

Leave a Reply