Sumber Gambar: Kuala Lumpur Hawks

Ketua jurulatih pasukan Kuala Lumpur, Yusri Che Lah berharap pemain pertahanan skuad kebangsaan, Syazwan Andik dapat memanfaatkan peluang bersama pasukan barunya.

Yusri berkata demikian kerana Syazwan merupakan pemain yang mempunyai kualiti untuk beraksi bersama pasukan negara di pentas antarabangsa.

“Berusahalah merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan baharu!”

“Saya mengharapkan dia dapat membarisi kesebelasan utama pasukan baharunya nanti kerana pada saya, dia sememangnya material skuad kebangsaan.

“Jadi ini akan memberikan cabaran yang lebih besar buat dirinya tetapi satu kerugian seandainya kemampuannya disia-siakan.

“Apapun, dengan prestasinya ketika ini dan kematangan dalam corak persembahannya, saya optimis tempatnya sukar untuk digugat dan selamat maju jaya bersama mana mana pasukan yang akan disertainya,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Tambah Yusri, meskipun beliau kehilangan antara pemain penting dalam skuad The City Boys, namun beliau enggan meratapi kepergian Syazwan dan menyeru semua pihak untuk menghormati keputusannya.

“Saya akui ketiadaan Syazwan sedikit merencatkan persiapan pasukan kerana semua sudah sedia maklum mengenai kemampuan Syazwan, tetapi kita perlu menghormati keputusannya.

“Bagi saya, kita perlu memandang ke hadapan dan kita masih ada beberapa pemain yang mampu menggantikan tempatnya seperti Fitri Omar dan Hafiz Johar.

“Mungkin ini akan memberi peluang kepada pemain lain untuk menyerlah dan mereka seharusnya mengambil kesempatan ini dengan memberikan persembahan yang terbaik pada sesi latihan mahupun pada perlawanan,” tambahnya.

Syazwan Andik sah meninggalkan pasukan Kuala Lumpur setelah Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) gagal untuk membayar gaji Syazwan selama dua bulan.

Terdapat satu syarat khas dalam kontrak pemain yang mesra disapa Pelo ini bersama KLFA dimana jika persatuan itu gagal untuk membayar gaji selama dua bulan, maka pemain itu dibenarkan untuk menamatkan kontraknya bersama KLFA.

Pemain berusia 23 tahun ini dikaitkan dengan perpindahan ke Johor Darul Ta’zim dan beliau dilihat mampu untuk memanfaatkan peluang berdasarkan penampilan cemerlang ketika beraksi bersama pasukan kebangsaan dalam saingan Piala AFF Suzuki 2018.

Baca Juga: Kontrak Tamat Kerana Tunggakan Gaji

Leave a Reply