Sumber Gambar: Kuala Lumpur Hawks

Pemain pertahanan skuad kebangsaan, Syazwan Andik Ishak menegaskan kontrak beliau bersama Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) tamat kerana majikannya itu gagal membayar gaji beliau selama dua bulan.

Menurut Syazwan, terdapat satu syarat khas dimana di dalam kontrak beliau, jika KLFA gagal membayar gaji selama dua bulan, beliau dibenarkan untuk menamatkan kontrak bersama persatuan tersebut.

Malah, pemain berusia 23 tahun ini dikatakan sudah memberitahu ketua jurulatih pasukan, Yusri Che Lah mengenai hasratnya untuk menamatkan kontrak bersama KLFA menerusi emel.

“Terdapat satu syarat dalam kontrak saya dengan KLFA yang membenarkan saya menamatkan kontrak jika saya tidak menerima gaji untuk dua bulan.

“Saya sudah memberi surat kepada ketua jurulatih, Yusri Che Lah pada 9 Januari dan memberitahunya tentang hasrat saya untuk menamatkan kontrak.

“Saya juga sudah menghantar emel kepada KLFA untuk menamatkan kontrak atas sebab tidak menerima gaji,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Syazwan tampil membuat kenyataan sedemikian setelah Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa kecewa dengan tindakannya yang didakwa meninggalkan pasukan berbaki kurang sebulan sebelum Liga Malaysia membuka tirai.

Menurut Nokman, setelah Syazwan pulang daripada tugasan bersama skuad kebangsaan dalam saingan Piala AFF Suzuki 2018, pihaknya sudah mengadakan perbincangan bersama Syazwan dan pemain itu sudah bersetuju secara lisan untuk kekal bersama The City Boys.

Namun, KLFA terkejut apabila mendapat tahu dia dijangka menyertai juara Liga Super lima kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas bek kiri itu dikaitkan dengan perpindahan ke Melaka United (MU).

“Dia buat kami terperangkap dan cara dia melakukannya sangat tidak beretika kerana kami sudah mencapai persetujuan lisan,” kata Nokman.

Sebelum ini, Syazwan dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan Selangor dan Melaka United dimana kedua-dua pasukan menyatakan kesediaan untuk menampung Syazwan bagi musim 2019.

Akan tetapi, pemain ini dikhabarkan akan menyertai juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim setelah kontraknya bersama KLFA tamat dimana gambar beliau berlatih bersama pasukan itu tersebar luas di media sosial.

Baca Juga: Syazwan Andik Sertai JDT – B.Sathianathan

Leave a Reply